Malaysia Dateline

Inisiatif MP Lumut bantu penduduk dan syarikat tempatan

Program Pendampingan Masyarakat Bakul Makanan Parlimen Lumut sudah mula digerakkan untuk diedarkan kepada penduduk setempat yang terjejas di Parlimen itu.

Menerusi Facebook Ahli Parlimennya, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, bantuan bakul makanan tersebut mengandungi 13 barangan makanan yang telah diedarkan sejak semalam.

“Antara barangan dalam bakul makanan itu termasuklah beras 5 kilogram sebanyak dua unit, tepung, gula, minyak masak satu kilogram, susu pekat, sardin, bihin, sos cili, kicap, kopi, teh serbuk, biskut, dan garam,” katanya.

Beliau menambah, selain daripada memenuhi keperluan golongan sasar, beliau juga mengambil kesempatan dengan membeli sebahagian barangan tersebut daripada syarikat dan pengeluar tempatan dari Negeri Perak.

“Semoga sedikit bantuan ini dapat meredakan sedikit kepayahan masyarakat dalam mengharungi pandemik Covid-19,” tulisnya di Facebook.

Untuk rekod, peruntukan RM300,000 untuk setiap Ahli Parlimen termasuk dari parti pembangkang sudah disalurkan sejak 1 Julai lalu.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, peruntukan berkenaan termasuk di bawah program Bakul Makanan Nasional berjumlah RM80 juta di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).