Inkues Adib bermula pagi ini

Inkues Adib bermula pagi ini

Inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bermula hari ini di Mahkamah Koroner di Shah Alam.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah bersama-sama Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim.

Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga saksi memberi pendengaran pada hari ini membabitkan saksi polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Seterusnya, bakal disusuli enam doktor dan pakar forensik, termasuk yang merawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN) pada sesi pendengaran akan datang.

Orang awam yang berada di tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, Selangor pada 27 November tahun lalu juga akan dipanggil memberi keterangan.

Mereka antara 30 saksi dalam inkues membabitkan kematian tragik anggota bomba berusia 24 tahun itu.

Penubuhan inkues untuk mengetahui punca sebenar kematian Adib dan mereka yang terbabit diumumkan kerajaan pada 27 Disember lalu.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam menetapkan 52 hari untuk prosiding inkues terbabit.

Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak kuil itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam, 17 Disember lalu di IJN selepas 21 hari bertarung nyawa.

Sebelum ini, beliau dipercayai diserang dan dipukul. Walau bagaimanapun, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman sehari selepas tragedi mendakwa Muhammad Adib parah akibat kemalangan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kemudiannya pada 29 November lalu menegaskan dakwaan pihak kuil itu sebagai tidak benar.