
Inkues Adib: Mencari atau menafikan sebab?
Setelah tiga minggu bertarung nyawa, Muhammad Adib bin Mohd Kasim, anggota bomba dari Jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Subang Jaya berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia.
Laporan di hadapan koroner menjelaskan bahawa kematian Adib adalah disebabkan kegagalan paru-parunya untuk pulih dari trauma.
Menurut penjelasan saksi ke-14 dan ke-15 prosiding Mahkamah Koroner, Adib diterima oleh Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN) dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri. Malah proses memindahkannya ke IJN turut mengundang risiko.
Kematian Adib adalah rentetan kisah jenayah, provokasi ahli politik, dan mentaliti masyarakat yang mudah diperalat. Pelanggaran hak di kuil Seafield Subang Jaya, asalnya tiada kena-mengena dengan kebencian antara agama.
Kemarahan penganut Hindu hanya tercetus setelah salah seorang Exco negeri Selangor, V Ganabathirau memuat naik kenyataan berbau kebencian agama di Facebook sebagai respon terhadap cubaan pemaju menghalau pendudukan kuil Seafield. Beliau menarik kembali kenyataan tersebut, kemudiannya meminta maaf.
Namun, kerosakan telah berlaku hingga mengorbankan nyawa yang langsung tiada kaitan dengan pertelingkahan.
Memburukkan lagi keadaan apabila pimpinan mereka terus mengeluarkan kenyataan memperlekeh pihak berkuasa dalam membendung situasi. Tindakan tersebut dilihat provokatif dan sengaja mencurah minyak kedalam api.
Ini adalah tindakan cukup tidak prihatin sebagai pemimpin masyarakat. Bertambah ironi apabila respon dari majoriti pula dianggap sebagai perkauman.
Inkues bagi menentukan kematian Adib bermula pada 11 Februari lalu disambut dengan pelbagai reaksi.Rata-rata masyarakat menganggap inkues sebagai tidak lebih dari sekadar ‘mengaburi mata’ lantaran suspek pembunuhan telah dibebaskan dengan ikat jamin.
Manakala pesalah yang didapati merancang untuk merusuh dan menghasut, disabit dengan 8 kesalahan termasuk hukuman Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.
Sedangkan dalang sebenar pertelingkahan kuil Seafield masih bebas berluasa, termasuk penghasut kekacauan. Objektif inkues Adib terlihat mengelirukan.
Dari menyatakan fakta, keterangan saksi seolah-olah dipandu soalan. Disebalik pengumuman ketua polis negara diawalnya untuk menyiasat kes ini dibawah akta 302 kanun keseksaan, inkues Adib seperti cuba menafikan kenyataan dan keterangan saksi-saksi polis.
Walhasil, laporan lengkap hasil siasatan sekadar memenuhi syarat. Malah gambaran seolah-olah Adib sengaja mencederakan diri sendiri berjaya disorotkan oleh prosiding melalui saksi-saksi mereka.
Kenyataan penulis adalah berdasarkan pemerhatian terhadap perjalanan prosiding, saksi-saksi dan juga kredibiliti pihak yang mahu mencampuri proses prosiding dihadapan koroner.
Dari kisah hilangnya telefon bimbit yang terkandung bahan bukti, kredibiliti saksi forensik apabila terlibat dalam mengeluarkan kenyataan diluar bidangnya, hinggalah ke skandal penarikan peguam yang mewakili arwah Adib.
Malah pihak pentadbiran kuil yang sepatutnya berada dalam kandang tertuduh, turut cuba mendapatkan tempat dalam proses tersebut.
Sama ada ditolak atau menarik diri dari memohon sebagai pemerhati inkues Adib, afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu dikatakan menjadi pendorong.
Afidavit tersebut menyatakan bahawa kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang, sedangkan inkues masih berjalan. Malah, ia turut bertentangan dengan hasil siasatan polis.
Atas dasar apa afidavit tersebut dikeluarkan? Jika inkues sekadar mencari sebab, mengapakah kenyataan tidak berkait dihipotesiskan, malah dijadikan sebagai bahan bukti?
Prosiding inkues lebih menyorot perihal Adib ‘mencederakan diri sendiri’, dari mencari sebab sebenar berlandaskan siasatan yang telah lengkap. Malah, ia turut dilihat sebagai ‘sudah tergelincir’ dari laluan asal sebuah inkues.
Di mana rasionalnya Adib mencederakan diri sendiri? Hatta, jika trauma yang dialami Adib disebabkan oleh ‘kemalangan’, tidakkah itu sepatutnya memudahkan lagi prosiding lantaran Adib sememangnya berada di tengah-tengah rusuhan?
Bukankah rentetan Adib ‘mencederakan dirinya sendiri’ adalah natijah rusuhan di Kuil Seafield? Inkues Adib tidak substantif: terpisah dari realiti dan terkepung. Karektor prosiding berprofil tinggi dengan ‘pencemaran’ kepentingan, memberi maksud ia jauh dari keadilan sebenar.
* Penulis merupakan aktivis Group Palestin English (Twitter @MHBASjam). Ikuti perkembangan terbaru Palestin melalui twitter di @GroupPs_English atau carian hashtag #GroupPalestine.