Malaysia Dateline

Inkues Adib: Pas desak AG letak jawatan, bercanggah Perlembagaan negara

Pas sekali lagi mendesak  Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas  untuk meletakkan jawatannya apabila tindakannya yang mencampuri inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib, sebelum ini diselar kerana bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, Peguam Negara perlu  meletakkan jawatannya secara terhormat atau akan membawa perkara itu untuk makluman Yang DIpertuan Agong.

“Pas memandang serius perkembangan terkini ini dan tidak yakin terhadap kredibiliti Peguam Negara kerana mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang.

Kamaruzaman Mohamad

“Tindakan ini (menentukan punca kematian Adib walhal perbicaraan masih berlangsung) sekali gus menyebabkan prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib tertangguh dan kelewatan keadilan kepada keluarga Allahyarham.

“Pas mendesak supaya Peguam Negara meletakkan jawatan secara terhormat atau kami akan menghadap dan merafak sembah Yang di-Pertuan Agong supaya memecat beliau, berpandukan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan, ‘Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong’, ” katanya.

Ogos lalu, Mahkamah Koroner telah membenarkan permohonan bapa Muhammad Adib Mohd Kassim untuk memfailkan prosiding komital (penghinaan mahkamah) terhadap Peguam itu.

Permohonan difailkan Mohd Kassim Abdul Hamid terhadap Thomas berhubung inkues dalam menentukan punca kematian Arwah Adib, anggota bomba yang maut dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lalu,

Beliau dalam satu kenyataannya hari ini berkata, Tindakan Thomas dianggap sebagai tidak profesional dan bercanggah dengan Perlembagaan Negara Persekutuan.

Beliau turut memetik alasan penghakiman oleh Hakim Koroner Rofiah Mohamad ke atas permohonan bapa Arwah Muhammad Adib.

Dalam penghakimannya, Rofiah berkata, keputusan dibuat selepas beliau berpuas hati dengan hujahan kedua-dua pihak berhubung wujudnya prima facie dalam perjalanan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

“Pas memandang serius perkembangan terkini ini dan tidak yakin terhadap kredibiliti Peguam Negara kerana mengikut Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan, menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang,” katanya.