Malaysia Dateline

Inkues buka ruang bukti dan saksi baharu, kata Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin  berkata  keputusan kerajaan mengadakan inkues  membuka ruang untuk kemuka bukti dan saksi baru kepada punca kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim..

“Saksi baharu boleh tampil ke depan dan beri ruang berikan maklumat dan kenyataan mengenai kes Adib.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan saya sendiri berpuas hati untuk adakan inkues oleh majistret kerana ianya lebih ruang untuk menyiasat mereka yang ada ketika kejadian terjadi.

“Inkues juga boleh mencari sebab-sebab kematian Adib dan juga bolehkan bertanya kepada pihak pakar forensik merawat Adib,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan kepada 6 wira merah JBPM serta sumbangan kepada keluarga Adib di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya hari ini.

Zuraida berkata hasil bedah siasat kematian Adib akan dibentangkan oleh polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Jadi sebab itulah nak buat inkues,” katanya.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, (kiri) menerima sumbangan untuk enam warias anggota bomba daripada Zuraida Kamaruddin mewakili KPKT untuk  Tabung Wira Merah..-Foto Wan Zahari Wan Salleh,.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Peguam Negara membuat keputusan untuk mengadakan inkues bagi menentukan sebab kematian Adib.

Inkues adalah suatu prosedur di bawah Bahagian XXXII Kanun Acara Jenayah yang mana majistret boleh diarahkan oleh peguam negara menurut Seksyen 339(1) Kanun yang sama untuk membuat siasatan bagi menentukan sebab sesuatu kematian.

Dalam satu kenyataan, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPPM) Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihak polis perlu segera menyempurnakan kertas siasatan dan peguam negara membuat keputusan cepat mendakwa pihak yang terbabit.

Katanya, ini kerana bukan semua kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan memerlukan keputusan inkues terlebih dahulu sebelum pendakwaan dapat dilakukan.

Zainul Rijal juga mendesak peguam negara memberikan penjelasan terperinci kenapa tiada pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 setakat ini dan kenapa pula inkues dijalankan kerana orang awam tidak mempunyai akses kepada siasatan .PPPM berpendapat KDN tidak perlu mengadakan inkues bagi kes Adib kerana akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa.

Dalam majlis diadakan keluarga Muhammad Adib menerima sejumlah RM81,756 menerusi Tabung Wira Merah untuk Muhammad Adib  yang   dilancarkan pada 17 Disember 2018 dan akan ditutup pada 31 Januari 2019.

Pihak JBPM menyalurkan bantuan kebajikan kepada keluarga enam wira merah  sejumlah RM291,270  dan  Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyumbangkan RM50,000 kepada enam wira Merah yang mati lemas  dalam kejadian pusar air di lombong di Puchong  untuk menyelamatkan seorang mangsa mati lemas  pada Oktober lepas  yang disampaikan oleh Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan (kanan) menhyerahkan sumbangan kepada waris enam wira merah yang terkorban diwakili Zuraida Kamaruddin.- Foto: Wan Zahari Wan Salleh.