Malaysia Dateline

Inkues kematian Adib: Benjolan di kepala, muka tidak bentuk sebenar

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini terdapat benjolan dan luka kering di bahagian kepala anaknya.

Saksi ke-23 itu berkata benjolan dan luka kering itu dapat dirasakan ketika beliau mengusap kepala anak ketiganya itu ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam prosiding inkues yang memasuki fasa kedua itu, beliau memberitahu luka kering di sebelah kanan belakang kepala Adib kelihatan lebih jelas ketika anggota bomba berkenaan bangun untuk membuat rawatan fisioterapi.

“Ketika mula melihat keadaan arwah di hospital di Subang Jaya, banyak kecederaan dan paling ketara di sebelah kanan dari bahagian dada ke tulang rusuk.

“Lebam sampai hitam. Anak saya tidak sedar dan kritikal, malah mukanya tidak bentuk sebenar,” katanya ketika ditanya peguam mewakili keluarga, Ahmad Taufiq Baharum serta peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor.

Saksi sama berkata, pada hari kedua dalam tempoh lima hari, keadaan Muhammad Adib kelihatan baik, mereka ada merakamkan gambar bersama Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, yang merawat anaknya itu.

Katanya, rakaman gambar itu dipinta sendiri oleh Mohamed Ezani untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa Muhammad Adib sudah sihat.

“Kami ambil gambar bersama. Arwah tunjuk tanda bagus dan dia kelihatan gembira,” kata Mohd Kassim lagi.

Prosiding bersambung esok pagi di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.