Malaysia Dateline

Inovasi perkhidmatan awam tingkat daya saing negara

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil hari ini berkata budaya inovasi dalam perkhidmatan awam mampu meningkatkan daya saing negara ke tahap lebih tinggi.

Tegas beliau lagi, sebagai salah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani LKIM amat menggalakkan warganya sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kepada rakyat.

Warga kerja LKIM yang sentiasa kreatif berfikir serta merekacipta produk-produk baru terutamanya dalam bidang teknikal pastinya akan membantu kerajaan dan negara dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat, kata beliau.

Tambah beliau lagi, budaya inovasi adalah antara perkara yang diberikan perhatian khas oleh kerajaan dalam usaha menuju ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 seperti yang termaktub dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutup Hari Inovasi LKIM 2019 yang berlangsung di Hotel Blue Wave Shah Alam. Hadir bersama dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah LKIM (Pengurusan) Raja Kahalid Raja Ariffin, Timbalan Ketua Pengarah LKIM (Pembangunan) Untong Bin Keri, Pengerusi NEKMAT Haji Abdul Hamid Bahari dan Ahli Jemaah Lembaga LKIM yang lain.

Hari Inovasi LKIM 2019 telah menyaksikan penyertaan sebanyak sembilan kumpulan yang melibatkan 80 orang pegawai.
Terdapat beberapa acara lain turut dianjurkan seperti pertandingan KIK, pidato, dan penulisan Esei. KIK Inderapura daripada LKIM Negeri Pahang muncul Johan Pertandingan dalam Hari Inovasi ini yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00, sijil serta plak.

Bagi kategori penambahbaikan pula, KIK Hobin daripada LKIM Negeri Sembilan berjaya menjadi johan diikuti dengan KIK Eureqa daripada LKIM Pulau Pinang dan KIK Protani daripada LKIM Ibu Pejabat.

Hari Inovasi ini juga turut diserikan dengan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan LKIM ke-48. LKIM merupakan sebuah agensi kerajaan yang telah ditubuhkan pada 1 Novemberi 1971.