Insentif ADAM50 akan diputuskan Kementerian Kewangan

Insentif ADAM50 akan diputuskan Kementerian Kewangan

Keputusan sama ada untuk meneruskan atau memansuhkan Program Amanah Dana Anak Malaysia (Adam50) akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pemberian inisiatif itu melibatkan dana negara yang besar dan seperti sedia maklum negara kini mempunyai defisit yang ‘membengkak’.

“Saya akan bincang dengan Menteri Kewangan dahulu. Kita nak kena lihat semula pelaksanaannya kerana ini janji kerajaan dahulu,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Kebangsaan di Dewan 2020 semalam.

Sebelum ini Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjelaskan bahawa Adam50 akan diteruskan mengikut perancangan asal.

Pengerusi Kumpulan Tan Sri Abdul Wahid Omar baru-baru ini dilaporkan berkata inisiatif itu akan dilaksanakan seperti dirancang mengikut tempoh iaitu untuk semua bayi warganegara Malaysia yang lahir pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022.

Objektif utama Adam50 adalah untuk menggalakkan budaya menyimpan dan pelaburan oleh rakyat Malaysia daripada usia seawal baru lahir, melalui pemberian unit insentif percuma sebagai modal pelaburan permulaan.

Unit insentif percuma itu akan dikreditkan ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) bagi bayi bukan Bumiputera selepas proses pendaftaran dibuat di Cawangan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dan Ejen ASNB.