Malaysia Dateline

Insentif Najib kepada warga Felda hanya ‘panadol’

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, pengumuman Perdana Menteri itu merupakan ‘skrip’ bagi meredakan kemarahan banyak pihak berhubung kepincangan Felda sehingga mengakibatkan warga peneroka terperangkap dalam bebanan hutang.

“Najib melihat isu (kepincangan Felda) ini dengan hampirnya pilihan raya, sesuatu mesti dilakukan untuk sekurang-kurangnyta kerusi yang dimenangi BN dapat dipertahankan.

“Insentif yang disebut itu bagi saya bersifat sementara macam telan panadol. Hanya beri kegembiraan yang sementara dapat RM5,000. Esok sakit kepala lagi,” tegasnya.

Beliau dipetik berkata demikian ketika ditemubual oleh Media Oren dalam slot Perspektif Semasa di Wisma Amanah kelmarin.

Menurutnya, kerajaan wajar bertanggungjawab terhadap kegagalan pengurusan Felda sehingga ada warga peneroka menanggung hutang melebihi RM100,000.

“Ini bukan soal membayar insentif khas RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka Felda semata-mata. Insentif itu tidak memberi kesan dalam menyelesaikan masalah sebenar peneroka.

“Warga peneroka kena bayar setiap bulan hutang dengan pendapatannya yang kecil. Hutang ini tidak pernah habis sampai bila-bila,” ujarnya ketika ditemubual Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Ithnin sebagai moderator.

Mazlan turut menegaskan pelantikan Tan Sri Isa Samad dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 2011 dan penyenaraian syarikat yang rugi di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 sebagai dua faktor utama kegawatan kepada Felda.

“Anak sudah lama buat bantahan terhadap pelantikan Isa. Kita telah buat beberapa himpunan selain forum, konvensyen dan tindakan perundangan.

“Najib tahu bantahan-bantahan berkaitan kepincangan Isa Samad ini. Bagi tempoh lama daripada 2011 hingga 2016 kerosakan (dalam Felda) berlaku begitu besar,” jelasnya.

Mengulas lanjut kesedaran warga baharu Felda pada masa ini berbeza dengan generasi peneroka terdahulu yang ditawarkan 10 ekar tanah rancangan ketika itu.

“Kesedaran generasi hari ini tentu tidak sama seperti generasi awal dulu yang mendapat 10 ekar. Sewajarnya manfaat Felda perlu ada kesinambungan.

“70 peratus peneroka sudah meninggal dunia. Yang jadi pentadbir tanah pada masa ini anak-anak peneroka iaitu generasi baru Felda.

“Adakah 10 ekar yang mereka warisi itu berbaloi dengan pendapatan yang diperoleh pada masa ini? Ini persoalan pokok yang patut kerajaan umumkan. Saya dukacita persoalan utama ini tidak disentuh,” tegas Mazlan lagi.