Insentif warga Felda hanya ulangi skrip lima tahun lalu

Insentif warga Felda hanya ulangi skrip lima tahun lalu

Tidak teruja dengan insentif RM1.588 bilion diumumkan perdana menteri Datuk Seri najib Razak kepada warga peneroka Felda baru-baru ini, Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menawarkan pemulihan Felda secara menyeluruh sebagai kaedah untuk menyelesaikan permasalahan peneroka dan mengembalikan Felda sebagai sebuah entiti yang menjana keuntungan dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Timbalan presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman insentif warga Felda oleh perdana menteri pada 27 Julai lalu hanya mengulangi apa yang berlaku lima tahun lalu apabila Najib mengumumkan ‘durian runtuh’ berjumlah RM1.7 bilion untuk peneroka Felda menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13.

“Saya tidak nafikan pengumuman tersebut menggembirakan peneroka Felda. Tetapi oleh kerana insentif yang diumumkan itu hanyalah bersifat gula-gula pilihan raya, bukannya satu bentuk penyelesaian menyeluruh permasalahan peneroka, para peneroka Felda kembali dibelenggu dengan pelbagai masalah selepas itu,” jelas beliau.

Oleh itu, Muhyiddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengulangi komitmen PH untuk melaksanakan program menyeluruh pemulihan Felda.

Pemulihan Felda terkandung dalam enam dasar 100 hari PH jika mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.  

Muhyiddin menambah, oleh kerana insentif berjumlah RM1.588 bilion yang diumumkan Najib 27 Julai lalu bukan bersumberkan keuntungan yang diperolehi Felda, beliau menuntut kerajaan mendedahkan dari sumber manakah wang sebanyak itu diperolehi?

“RM1.588 bilion bukan satu nilai yang kecil. Ia merupakan 3.5% daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan kerajaan sebanyak RM46 bilion atau 5% daripada peruntukan perkhidmatan dan bekalan kerajaan sebanyak RM32 billion yang diumum di dalam Bajet 2017.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Najib untuk memberitahu rakyat dari manakah datangnya wang berjumlah RM1.588 billion itu?

“Saya juga ingin bertanya kepada Najib, mana pelan pemulihan Felda yang akan menyelamatkan Felda dan menguntungkan peneroka? Silalah jawab,” soal beliau.

TAGS