Insiden budak tercampak: Jangan pertikai pelaksanaan CRS, kata Anthony

Insiden budak tercampak: Jangan pertikai pelaksanaan CRS, kata Anthony

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook meminta semua pihak tidak lagi mempersoalkan keperluan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) susulan kemalangan budak berusia 2 tahun tercampak di lebuh raya dalam satu insiden Isnin lalu.

Beliau berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada semua mengenai kepentingan kerusi keselamatan itu.

“Kanak-kanak itu tercampak kerana tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak. Saya difahamkan pemandu yang menyebabkan kemalangan itu pun telah diambil tindakan oleh pihak polis.

Anthony Loke

“Bayangkan apa akan terjadi kepada kanak-kanak itu jika kenderaan di belakang tidak sempat memberhentikan kenderaan. Mangsa sangat bertuah. Jika berlaku apa-apa kepadanya, mungkin keluarganya kesal,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak pameran pemeriksaan awam projek ECRL di Ibu Pejabat Lembaga Pelabuhan Klang  seperti dipetik laporan Sinar Harian hari ini.

Dalam kejadian jam 3.21 petang Isnin lalu, kanak-kanak itu tercampak dalam kemalangan di Kilometer (KM) 235.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Linggi, Negeri Sembilan.

Walaupun tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya, mangsa bernasib baik apabila pemandu kereta lain di belakang menghentikan kenderaan sebaik menyedari kelibat kanak-kanak terbaring di lorong kanan lebuh raya.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pihaknya bukan hanya memberikan penekanan kepada kerusi keselamatan semata-mata sebaliknya perkara lain berkaitan keselamatan jalan raya.

“Kemalangan ini berpunca daripada pelbagai faktor, tetapi netizen kata saya hanya sibuk tentang perkara lain.

 “Memang kita jalankan usaha untuk perketatkan peraturan bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah. Pada masa sama kerusi keselamatan kanak-kanak juga penting,” katanya.