Insiden di Christchurch jadikan iktibar, pengajaran semua pihak

Insiden di Christchurch jadikan iktibar, pengajaran semua pihak

Kedamaian merupakan sesuatu yang amat mahal dan paling berharga, lebih-lebih lagi dalam kehidupan sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Demikian dinyatakan oleh Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya lagi, serangan pengganas di New Zealand semalam harus menjadi satu pengajaran yang amat penting kepada semua golongan masyarakat.

“Negara kini sedang menghadapi isu perkauman dan agama yang amat membimbangkan selepas pilihan raya umum ke 14 yang lalu.

“Banyak perkara melibatkan isu kaum dan agama dieksploitasi dengan penuh emosi.

“Wujud juga tuduh menuduh dan menuding jari sehingga mampu menyemarakkan kebencian walaupun pada hakikatnya ia mesti dibincang dengan penuh tanggungjawab dan berhemah, ” tegasnya lagi.

Malah katanya, kita kini seolah-oleh telah lupa dengan insiden hitam tragedi 13 Mei 1969.

“Kini insiden di Christchurch, New Zealand telah mengorbankan dan mencederakan begitu ramai Muslim yang sedang beribadah di Masjid.

“Ini merupakan suatu penghinaan yang amat keterlaluan.

“Sehubungan itu adalah diharapkan ia menjadi iktibar dan pengajaran kepada semua pihak, ” ujarnya.

Beliau juga berkata, amat diharapkan parti-parti politik dalam negara ini tidak mempolitikkan isu agama dan kaum.

“Melalui portal berita dalam Bahasa Inggeris juga tidak kurang yang memperkatakan mengenai isu Icerd, UEC, isu kuil dan kematian Adib serta penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad s.a.w.

“Bahkan isu pendakwah bebas seperti Zakir Naik, terlalu banyak komentar berbaur perkauman dan kebencian agama oleh bukan Islam yang dipaparkan.

“Zakir Naik turut dilabelkan sebagai pengganas sehinggakan terdapat yang mengecam kerajaan dan Menteri Agama sebagai melindungi pengganas walaupun ianya tidak benar sama sekali, ” katanya.

Tambah beliau lagi, kesemua isu tersebut tidak membantu untuk merapatkan jurang kaum dan agama, bahkan ia melebar luaskan sentimen emosi yang boleh meletup bagai bom jangka pada bila-bila masa sahaja.

Sehubungan itu adalah diharapkan semua golongan masyarakat termasuk juga bukan Muslim dalam negara ini supaya tidak mudah melatah dengan saraf dan provokasi serta propaganda kaum dan agama.