Malaysia Dateline

Insiden di Kuil: Isu perkauman perlu dibendung kadar segera

Pengerusi Parti AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan menyifatkan insiden  pergaduhan yang berlaku di Kuil Sri Mariammam telah merentap keharmonian kehidupan pelbagai kaum di negara ini.

Katanya selama ini teras negara ini tertegak atas dasar kehidupan yang harmoni pelbagai kaum dan hal tersebut perlu dipertahankan.

“Isu seperti ini perlu dibendung segera oleh pihak kerajaan. Ia akan menimbulkan kegelisahan di antara semua kaum.

“Memang kita akui, terdapat anasir yang mahukan perpecahan di antara kita sama ada mereka yang melakukan perkara sedemikian itu sengaja atau tidak.

“Tindakan terhadap penyebar dan penggerak kepada perpecahan ini perlu dilakukan dalam kadar segera serta penerangan tentang keharmonian kaum juga perlu disampaikan,” ujarnya.

Beliau yang merupakan Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam Johor berkata pendidikan untuk memahamkan peranan masyarakat akan diutamakan.

Mengupas soal berkenaan, beliau menyatakan hubungan terhadap wakil rakyat yang berbilang kaum akan dipereratkan lagi bagi mendengar suara keluhan mereka di peringkat negeri.

“Dalam kerajaan negeri pun kita ada wakil rakyat dari pelbagai kaum dan hubungan di antara mereka sentiasa kita jaga serta mendengar keluhan dari kaum mereka.

“Kita berpendapat bahawa sesiapa saja yang terbabit dalam membangkitkan isu perkauman ini perlu diambil tindakan waima mereka itu bertaraf menteri.

“Kita juga menasihatkan agar tidak perlu mengikut emosi dalam menangani setiap perkara. Peraturan dan undang-undang telah ada untuk kita mencari jalan penyelesaian secara diplomatik,” jelasnya ketika dihubungi.