Malaysia Dateline

Tragedi Gunung Jerai disebabkan perubahan iklim boleh berlaku lagi, kata Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perubahan iklim di Malaysia yang panas dan hujan boleh menyebabkan tragedi banjir di Gunung Jerai terjadi sekali lagi.

Beliau berkata, perubahan tersebut berlaku mungkin kerana kepanasan disebabkan kehidupan manusia yang sekarang ini berjumlah 8 billion.

Katanya, kebakaran hutan yang meluas di tempat-tempat tertentu yang tidak dapat dipadam, juga merupakan antara penyumbang yang memanaskan iklim.

“Dalam ingatan penduduk, malapetaka seperti ini tidak pernah berlaku. Tetapi kini ia sudah berlaku. Apakah ia akan berlaku lagi. Jawapannya bukan sahaja boleh tetapi tetap akan berlaku.

“Mungkin tidak di Gunung Jerai tetapi di pergunungan lain di Malaysia. Dan mungkin sekali lagi atau lebih di Gunung Jerai. Kenapa ia akan berlaku lagi? Sebabnya ialah kerana perubahan iklim.

“Di Malaysia kita sudah rasai kenaikan suhu. Kepanasan matahari menyebabkan air di permukaan bumi jadi wap yang naik tinggi dan jadi titisan air. Lebih tinggi suhu, lebih banyak awan dan lebih lebatlah hujan. Sebab itu hujan di Gunung Jerai menjadi begitu lebat, mencairkan lumpur dan turun dengan pantas sebagai air terjun,” katanya dalam satu catatan terbaru di Facebooknya.

Mahathir menganggap, rakyat di Malaysia bernasib baik kerana hujan lebat sepanjang masa membasahkan bumi dapat menghalang kebakaran.

Pokok-pokok hutan menstabilkan bumi dan menyerap air, sehingga kepanasan juga diserap oleh pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan.

Namun katanya, walaupun Malaysia lebih selamat, malapetaka seperti keruntuhan Gunung Jerai masih boleh berlaku di mana-mana sahaja.

“Oleh itu bersedialah kita untuk aneka jenis malapetaka di masa hadapan,” katanya lagi.