Malaysia Dateline

Insiden Kuil: Banyakkan bersabar, urus suasana dan tekanan, kata Raja Kamarul

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengesa semua pihak perlu banyak bersabar dan bertenang mengurus suasana dan tekanan khabar angin yang palsu membabitkan insiden di Kuil Maha Mariamman, Siefield UsJ beberapa hari lalu.

“Apa yang paling penting adalah untuk mempelajari sesuatu dari insiden tersebut supaya trajedi sebegini tidak berulang dan merebak dalam suasana hari ini.

“Perkataan, emosi dan perbuatan yang keterlaluan hendaklah di kawal dan di hindari demi menjaga perasaan sesama rakyat Malaysia apa jua situasi kita hadapi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Raja Kamarul Bahrin menziarahi anggota bomba yang cedera parah Muhammad Adib Mohd Kassim dan keluarganya semalam.

“Walaupun berdukacita atas situasi kecederaan keatas Muhammad Adib, keluarga beliau kelihatan tenang dan bersabar menghadapi dugaan tersebut.

“ihak keluarga beliau dan juga kami dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, akan mengadakan solat hajat secara beramai-ramai untuk keselamatan dan kepulihan beliau.

“Saya berharap semua pihak berdoa untuk keselamatan dan pemulihan semula Anggota Bomba yang cedera di Seafield,” ujarnya.

Menurut beliau, insiden berlaku itu terlalu banyak ucapan dan perbuatan yang membakar semangat telah dibuat tanpa memikir sensitiviti rakyat serta akibatnya.

Katanya, walaupun Kerajaan telah mengingatkan supaya menghargai kebebasan yang di amalkan oleh Kerajaan hari ini tetapi nampak gayanya ada pihak yang mengambil kesempatan sikap keterbukaan kebebasan untuk berkata yang negatif untuk Masyarakat.

“Sesuatu situasi ganas tidak akan tercetus begitu sahaja tanpa pembakar perasaan yang membolehkan terledaknya perbuatan kasar.

“Muhammad Adib adalah anggota Bomba dibawah KPKT dimana saya bertugas sebagai Timbalan Menteri.

“Biarlah insiden yang menyedihkan hati banyak pihak menyedarkan kita rakyat Malaysia untuk mengelak suasana yang tidak sehat berterusan di kalangan kita.

“Berpuluh tahun kita membina Malaysia dengan baik dan aman.Marilah kita terus memeliharai keharmonian berbagai Agama dan bangsa dengan menjaga kata-kata serta perbuatan kita.

“Marilah kita tunjukkan kepada para penghasut dan perosak bahawa kita sebagai rakyat Malaysia tidak semudah itu di perangkap dalam politik kebencian yang cuba di semai di kalangan kita.

“Masa depan anak dan cucu kita di negara yang di cintai ini terlalu berharga dan cerah potensinya untuk di musnahkan oleh penghasut-penghasut yang tidak bertanggung jawab ini,” ujarnya.