Malaysia Dateline

Insiden Parit Raja isyarat jelas Parlimen perlu dibuka segera

Insiden yang berlaku di Parit Raja, Batu Pahat, Johor memberi isyarat yang jelas bahawa kerajaan ‘tanpa mandat’ Perikatan Nasional perlu membuka Parlimen segera dan tidak berselindung di sebalik darurat.

Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dalam kenyataannya berkata, di samping dakwaan ‘darurat melawan Covid’ yang dilihat tidak berkesan, kerajaan juga gagal mendengar keluhan rakyat di bawah.

“Sebenarnya, suara rakyat boleh diangkat menerusi wakil-wakilnya di Parlimen. Apabila kerajaan gagal melaksanakan nasihat DYMM Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan Parlimen boleh bersidang pada fasa darurat ini, banyak suara-suara rakyat marhaen tidak dapat diangkat kepada kerajaan menerusi saluran dewan rakyat,” katanya.

Menurut Naib Pengerusi DAP Johor itu, jika Parlimen terus disekat dari bersidang, lebih ramai rakyat akan menggunakan saluran-saluran alternatif untuk menyampaikan hasrat dan luahan hati mereka.

“Saya teringat puisi Wiji Thukul;

Apabila usul ditolak tanpa ditimbang;
Suara dibungkam;
Kritik dilarang tanpa alasan;
Maka hanya ada satu kata – lawan.

“Jika kerajaan terus ‘bodoh sombong’ dengan menyekat saluran demokrasi menerusi sidang Parlimen, rakyat marhaen akan memilih ruang demokratik yang lain untuk ekspresi dan luahkan ketidak puasan hati mereka terhadap kegagalan kerajaan ini. Lihatlah sahaja di Parit Raja,” kata beliau.

Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan tidak patut menyalahkan orang lain apabila berlaku sebagaimana berlaku kepada Parit Raja, kerana “U deserve,” kata Omar.

Katanya, punca kejadian ini disebabkan keadaan ekonomi rakyat sedang sakit tetapi dasar-dasar kerajaan tidak konsisten, layanan dua darjat dalam banyak hal melibatkan pengurusan Covid-19, campur tangan dalam urusan pelantikan pihak polis dan banyak lagi isu lain yang timbul, yang memerlukan Parlimen dibuka semula dan bersidang segera.