Insiden Pulau Perak: Mindef pertingkatkan keselamatan terhadap anggota bertugas

Insiden Pulau Perak: Mindef pertingkatkan keselamatan terhadap anggota bertugas

Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan keselamatan terhadap anggota yang bertugas di Pulau Perak, Kedah akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa susulan kes kehilangan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Jumaat lalu.

Dua anggota TDM tersebut adalah dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (RRD) dilaporkan hilang ketika melaksanakan tugas Op PEJARAK di pulau berkenaan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pada ketika ini, semua cabang ATM sedang berusaha mencari kedua-dua anggota tersebut.

“Setakat ini belum ada sebarang penemuan lagi. Semua cabang tentera sedang berusaha mengesan anggota yang terbabit.

“Kes seperti ini jarang berlaku dan punca kejadian kita belum dapat pastikan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Anugerah Sukan Angkatan Tentera Tahun 2018 anjuran Majlis Sukan Angkatan Tentera di Wisma Perwira, hari ini.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan semalam berkata, identiti anggota yang hilang dikenal pasti sebagai Koperal David Edmund Rapi, 39, tahun berasal dari Dalat dan Lans Koperal Moses Logers, 25, dari Bau, Sarawak,

“Ketiadaan anggota dikesan pada lewat malam Jumaat lalu ketika ketua penempatan membuat pemeriksaan malam bagi mengira kekuatan,” maklum kenyataan itu.

Pulau Perak terletak kira-kira 60 batu nautika barat daya Langkawi dan 70 batu nautika barat laut Pulau Pinang.

Pulau yang mempunyai tebing curam yang berketinggian lebih 100 meter ini adalah daratan terhujung barat Semenanjung di perairan Selat Melaka.