Insiden sabotaj berlaku walau Adenan sekat pemimpin pembangkang

Insiden sabotaj berlaku walau Adenan sekat pemimpin pembangkang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Walaupun Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi BN negeri menyekat kemasukan ramai pemimpin dan aktivis pro pembangkang, tetapi insiden berupa sabotaj masih berlaku ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru melangkah hari ketiga.

Dilaporkan, papan iklan calon Pas, Clement Bayang di Dewan Undangan Negeri (Dun) N60 Kakus dikoyakkan manakala di N72 Lambir sekali lagi Pas menjadi mangsa vandalisme apabila sepanduk markas operasi parti itu dibakar.

Kedua-dua Dun yang masing-masing terletak di Parlimen Selangau dan Sibuti itu menyaksikan pertempuran antara parti komponen BN dengan Pas dan PKR.

Mengulas insiden tersebut, Setiausaha Pas Sarawak, Mukhtar Suhaili dilaporkan berkata, situasi secara keseluruhannya masih terkawal dengan menganggap kedua-dua kejadian itu sebagai kes terpencil.

Pada PRN 2011, BN menerusi parti komponennya, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang tipis di Dun Kakus dengan majoriti hanya 602 undi manakala di Lambir, BN melalui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mendapat 1,521 undi.

Dalam hal berkaitan, dua papan iklan kempen komponen BN, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di N14 Batu Kawah dalam Parlimen Stampin turut dikoyak manakala satu lagi dibakar cat.

Pada 7 Mei ini, calon Datuk Dr Sim Kui Hian dari SUPP bakal berentap dengan penyandang, Christina Chew Wang See dari DAP dan calon Bebas, Liu Thian Leong.

Pada PRN 2011, Christina menang dengan majoriti tipis 543 undi.

TAGS