Insiden Sri Lanka: Satu lagi manifestasi keganasan agama?

Insiden Sri Lanka: Satu  lagi manifestasi keganasan agama?

Serantau Muslim (SM) mengucapkan salam takziah kepada mangsa yang terkorban akibat serangan bom di Sri Lanka semalam. Sehingga kini, kira-kira 207 orang telah terkorban dan seramai 450 orang yang lain mengalami kecederaan. Kejadian pengeboman itu berlaku di kawasan berbeza iaitu tiga di gereja Katolik dan tiga di Hotel Cinnamon Grand, Kingsbury dan Shangri-La.

Sementara itu, SM melihat Sri Lanka adalah sebuah negara yang menikmati kepelbagaian agama itu mengalami kesulitan bila mana kejadian tidak diingini berlaku di sana.

Dalam insiden serangan bom tersebut, puluhan rakyat asing dari negara Britain, Belanda dan Amerika Syarikat (AS) turut tercedera dan terkorban. Insiden yang menyayat hati itu turut mendapat perhatian pemimpin dunia, antaranya dari Perdana Menteri Britain, Presiden AS, Perdana Menteri Belanda, Perdana Menteri Australia, Perdana Menteri New Zealand, Perdana Menteri Pakistan dan Perdana Menteri India. Rata-rata mereka mengucapkan salam takziah dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mengejutkan dan bersifat kejam.

Bertitik tolak daripada insiden ini, SM ingin menarik perhatian dunia bahawa trend pihak tertentu sekarang seolah-olah mahu mensasarkan rumah ibadat sebagai tempat serangan, seolah-olah mahu menjadikan agama sebagai punca keganasan masyarakat sekarang. Fenomena ini dirasakan sesuatu yang bahaya.

Dalam pada itu, SM ingin menegaskan bahawa keganasan bukan terletak kepada agama kerana semua agama mengutuk keganasan. Islam sendiri mengutuk keganasan tanpa mengira jenis agama. Dianggarkan mempunyai sebanyak 69% daripada keseluruhan penduduknya adalah penganut agama Buddha, 8.5% beragama Islam, 7.9% penganut agama Hindu dan 7% penganut agama Kristian.

SM berpendapat insiden di Sri Lanka ini harus dirasai keperitannya sebagai mana insiden yang berlaku di Christchurch, New Zealand pada bulan yang lalu yang mengakibatkan korban seramai 52 orang umat Islam.

Pada masa yang sama, insiden ini turut mendapat perhatian kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia bersedia untuk menghantar bantuan kepada kerajaan Sri Lanka bagi kerja-kerja pemulihan di kawasan terjejas. Menurut Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, beliau telah menyampaikan ucapan takziah kepada rakan sejawatannya dari Sri Lanka, Tilam Marapana untuk mangsa dan keluarga mangsa yang terjejas serta menyifatkan insiden tersebut sebagai serangan yang tidak masuk akal serta kejam. Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini dan menggesa supaya pelakunya dibawa ke muka pengadilan.

SM menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia dan menyeru semua masyarakat bergabung untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa di sana.

Justeru, dalam isu ini, SM mencadangkan pemimpin-pemimpin agama seluruh dunia boleh duduk semeja dan membincangkan trend ini dengan memberi peringatan kepada pemimpin dunia agar tidak melatah dengan suasana ini.

SM juga ingin menyeru dunia untuk membuat muhasabah atas apa yang berlaku. Hal ini kenapa keganasan semakin menjadi-jadi dikala ini. Hasilnya, masyarakat umum yang tidak berdosa menjadi korban. Ayuh, kita tunjukkan solidariti kepada rakyat Sri Lanka dan keluarga mangsa yang terkorban.

*Penulis adalah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim