Instagram penulis surat layang kes Zulfarhan diserbu, dihujani doa dan ucapan terima kasih

Oleh WAN SITI AMINAH

Gambar memaparkan surat layang yang ditulis oleh seorang bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kembali tular di media sosial, baru-baru ini.

Surat layang itu ditulis dengan tujuan untuk memberi makluman kepada pihak atasan UPNM bahawa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain telah didera oleh rakan-rakannya.

Penularan tersebut telah menimbulkan tanda tanya orang ramai mengenai siapakah penulis surat layang yang mencuba untuk menyelamatkan nyawa Zulfarhan, tujuh tahun lalu itu.

Seorang pengguna media sosial kemudian tampil berkongsikan maklumat berhubung akaun Instagram dipercayai milik Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi iaitu salah seorang penulis surat layang tersebut.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik, pemilik akaun berkenaan difahamkan sudah menamatkan pengajiannya di sebuah kolej ketenteraan di luar negara pada Jun 2021 lalu.

Aiman Aufa juga sudah mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya pada tahun lalu dan dipercayai telah dikurniakan seorang cahaya mata melalui hantaran yang dikongsikan di akaun berkenaan.

Tinjauan mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membanjiri ruangan komen Instagram milik lelaki terbabit dengan ucapan terima kasih dan kiriman doa buatnya seisi keluarga.

Ramai juga individu meninggalkan komen bertanyakan kepastian sama ada akaun itu sememangnya dimiliki oleh penulis yang melayangkan surat bertujuan untuk menyelamatkan Zulfarhan.

“Terima kasih abang di atas surat layang itu. Semoga abang dimurahkan rezeki dan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya,” kata seorang pengguna mendoakan pemilik akaun.

“Terima kasih kerana menjadi orang yang berperikemanusiaan. Akak doakan awak dalam lindungan-Nya selalu.” Kata pengguna lain tampil memberikan penghargaan kepada Aiman Aufa.

Pada 22 Mei 2017, Muhammad Aiman Aufa menulis dua pucuk surat layang selepas melihat Zulfarhan terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dan dipenuhi tompok kehitaman dan darah di bilik asrama penginapan UPNM.

Surat itu dilayangkan selepas Aiman Aufa berbincang dengan seorang rakan sebilik yang dikenali sebagai Akmal Akif di mana kiriman pertama diselitkan di pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera (Resat) pada 23 Mei 2017.

Manakala surat layang kedua pula diletakkan di bawah pintu bilik seorang jurulatih pada keesokan harinya tanpa mendedahkan identiti kerana dikhuatiri akan menerima nasib yang sama dengan Zulfarhan.

“Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusian, saya minta sangat-sangat pergi serbu bilik 4-10. Blok Satria (depan masjid). Di dalam itu, ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!! – Hamba ALLAH,” tulisnya.

Usaha Aiman Aufa malangnya tidak berhasil menyelamatkan Zulfarhan apabila salah seorang jurulatih bertindak berkongsi isi surat berkenaan di aplikasi WhatsApp dan bertanyakan ‘siapa sakit di bilik 4-10?’.

Tindakan jurulatih terbabit telah menyebabkan penghuni bilik berkenaan yang juga suspek utama, Muhammad Akmal Zuhairi memindahkan Zulfarhan ke bilik lain agar ‘jenayah’ mereka tidak terbongkar.

Baca juga: ‘Plan’ nak berniaga tak menjadi, TikTokers beri pekerja asing 1,000 roti burger percuma