Malaysia Dateline

Logo SPRM 3

Institusi bebas lumpuh tanpa reformasi

Selain faktor parti pemerintah, kepimpinan dan rakyat, antara faktor penting dalam sesebuah negara berjaya ialah tahap kewibawaan penjawat awam dan institusi-institusi dalam mentadbir, mengurus dan melaksanakan amanah.

Sekiranya institusi-institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan bebas, adil, amanah dan telus, maka negara yang parah mempunyai harapan untuk sembuh. Sekiranya tidak, negara lumpuh dan mungkin menuju kemusnahan.

Realitinya, tidak ada institusi yang sempurna. Ini kerana jika pun mereka beraspirasi baik tetapi dengan cabaran, ancaman atau tekanan maka aspirasi baik mungkin bertukar. Lebih malang lagi ialah jika mereka sendiri pula membiarkan institusi terseleweng dan disalahgunakan.

Kita ambil contoh institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ditubuhkan dengan niat mulia untuk membanteras rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa, SPRM kadangkala dilihat tegas dan kadangkala tiada taring umpama permainan yo-yo.

Ketegasan menyiasat dan mendakwa tanpa takut dan memilih bulu sejajar dengan prinsip SPRM yang terpapar dalam laman sesawangnya iaitu bebas, telus dan profesional. Soalnya bolehkah SPRM benar-benar melaksanakan prinsip tersebut pada setiap masa dan pada semua kes?

Baru-baru ini SPRM kelihatan bertindak agresif dalam memerangi rasuah dengan membuat beberapa tangkapan untuk kes yang melibatkan dana persekutuan diselewengkan di Sabah oleh sebuah kementerian berjumlah lebih RM1.5 bilion.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang telah dipecat Umno dan kini Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), ditahan reman untuk membantu siasatan.

Naib Presiden mereka, Datuk Peter Anthony juga telah ditahan. Dakwa Mohd Shafie, sepanjang memimpin KKLW, tiada masalah timbul, namun segala-galanya berubah selepas beliau tidak lagi bersama kerajaan.

“Kali ini Najib mengarah SPRM menangkap pemimpin-pemimpin Parti lawan (Warisan) di Sabah. Matlamatnya ialah untuk melumpuh Warisan dengan menangkap Datuk Seri Shafie Apdal dan menakutkan penyokongnya”, dakwa Tun Dr Mahathir dalam blognya chedet.cc.

Walaupun dakwaan oleh Datuk Seri Mohd Shafie dan Tun Dr Mahathir tersebut bersifat politik dan menyerang Datuk Seri Najib dan Umno BN, namun ia memberi isyarat yang SPRM tidak bebas dan mungkin berada di bawah kuasa rejim parti pemerintah.

Kata Tun Dr Mahathir, “Pegawai SPRM diugut untuk melaksana arahan Najib. Jika mereka tidak patuh kepada arahan Najib maka tindakan tertentu akan diambil terhadap mereka. Mereka mungkin diturun pangkat, ditukar ke jawatan lain yang lebih rendah, dimansuh hak pencen dan bermacam lagi”.

Insiden ini mengingatkan saya kepada siasatan SPRM ke atas 1MDB dua tahun lalu. Ketua Pesuruhjaya SPRM pada ketika itu, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dicutikan, beberapa orang pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan dipindahkan.

Malah majlis solat hajat perdana SPRM dibuat supaya institusi itu diberi kekuatan untuk terus kukuh dalam menyelamatkan negara daripada gejala rasuah.

Amat sukar untuk menafikan bahawa ada campur tangan politik dalam hal ini apabila tekanan dikenakan ke atas SPRM.

Dalam masa yang sama, kita juga dikejutkan dengan berita Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri, Tan Sri Dzulkifli Ahmad didakwa terbabit dengan skandal bersama seorang wanita di Bali, Indonesia, yang tular di media sosial dan sedang dalam siasatan polis di bawah Seksyen 489 Kanun Keseksaan.

Menurut Tan Sri Dzulkifli, ia satu tuduhan yang jijik dan kotor bertujuan untuk mencemar reputasi dan nama baik beliau di samping menjejas kewibawaan SPRM.

Beliau menegaskan tidak akan tunduk dengan serangan sebegitu dan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab tanpa rasa gerun dan gentar.

Ini kenyataan berani tetapi ada yang berpendapat ia bukan kenyataan penafian oleh Ketua SPRM itu atas tuduhan tersebut.

Jika diperhatikan keadaan ini, ternyata SPRM tertekan bukan sahaja dengan persoalan tentang kebebasan dan profesionalismenya tetapi juga dengan serangan peribadi ke atas Ketuanya.

Sebagai sebuah negara yang berdiri di atas keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa, institusi seperti SPRM, PDRM dan Pejabat Peguam Negara bukan sahaja wajib bebas, adil dan profesional tetapi dilihat secara persepsinya begitu juga.

Justeru, sesuatu pembaharuan atau reformasi perlu dilakukan khususnya kepada SPRM.

Pertama, salah satu daripada lima tindakan dalam 100 hari pertama Kerajaan Pakatan Harapan ialah menjadikan SPRM sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen.

Buat waktu ini, di bawah Akta SPRM 2009 subseksyen 5 (1), Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di Pertuan Agung atas nasihat Perdana Menteri dan SPRM terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Kedua, memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM terhadap kes-kes rasuah dan tidak hanya bergantung kepada keputusan Peguam Negara.

Ketiga, memastikan peruntukan tahunan SPRM mencukupi dan SPRM diberi autonomi menguruskan kewangan mereka. Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, badan itu kini kekurangan 2,000 anggota dan peruntukan kewangan telah dipotong.

Keempat, menjamin hak pelantikan tetap bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memastikan beliau akan melaksanakan tugas dengan tegas dan tanpa rasa takut; dan

Kelima, menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah untuk membolehkan SPRM membuat pilihan sendiri pegawai-pegawai dalam perkhidmatan SPRM.

Selain itu, saya percaya mekanisme semak dan imbang sedia ada seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JA), boleh diperketatkan dari segi fungsi dan peranannya untuk memastikan ketelusan dan pertanggungjawaban dalam keseluruhan perjalanan SPRM.

Pada pendapat saya, apa jua kejayaan pembaharuan atau reformasi kepada mana-mana badan atau institusi bergantung kepada keazaman politik, kekuatan pegangan prinsip dan kehendak rakyat.

Reformasi yang diunjurkan tidak boleh berlaku jika parti pemerintah Umno BN tiada keazaman politik untuk melaksanakannya, lebih-lebih lagi jika mereka percaya kuasa dan kedudukan mereka boleh terjejas.

Reformasi juga tidak boleh berlaku jika pemegang jawatan institusi penting negara dan penjawat awam sendiri lemah dan longgar pegangan kepada prinsip.

Saya percaya pegawai tinggi jika diberikan rangsangan dan suasana positif tidak akan menggadaikan prinsip mereka hanya kerana takut kepada pemimpin Umno BN.

Sikap amanah, adil dan bertanggungjawab menuntut keberanian untuk ditegakkan.

Reformasi juga tidak boleh berlaku jika rakyat sendiri tidak bangkit menuntutnya kerana pada akhirnya, suara rakyat suara keramat. Peluang dan harapan perubahan sentiasa ada. Cuma tunggu masa sahaja untuk menjananya kepada sesuatu yang benar-benar membawa kebaikan buat rakyat.

Syed Ibrahim Syed Noh ialah Ketua Penerangan PKR