Malaysia Dateline

Institusi fatwa tidak dihormati, jadikan ia makin mencabar, kata Mufti Melaka

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, mengakui negara sedang berhadapan dengan generasi era ledakan teknologi yang tidak lagi menghormati institusi kefatwaan sehingga menjadikan institusi itu semakin dicabar.

Jelasnya, menggalas tanggungjawab sebagai Mufti merupakan peranan yang besar bagi membantu menghindarkan kecelaruan hukum-hakam dalam kalangan masyarakat.

Namun begitu, sikap sebahagian besar masyarakat yang tidak mempedulikan fatwa memberi kesan buruk kepada institusi sosial masyarakat.

“Kita berdepan (cabaran) dari sudut undang-undang, yang mana atas nama kebebasan, fatwa semakin dicabar. Kita berdepan dengan satu generasi yang tak hormati institusi fatwa yang telah diputuskan dan diwartakan.

“Kita berdepan satu cabaran masyarakat ‘ada aku kisah pasal fatwa’. Ada sebahagian besar berpegang pada fatwa, dan ada sebahagian yang menentang dan melabel ‘lantak kau’.

“Ramai yang akur (pada fatwa) tapi kalau ada tiga orang yang rosak (menentang), ia tetap akan beri kesan yang akan meruntuhkan institusi sosial masyarakat kita. Kita duduk aman damai, rupanya ada orang yang ‘kepalanya’ lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk : “Mufti Dekat di Hati” di Auditorium Utama Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, semalam

Turut hadir sebagai panel Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, dan moderator Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Dalam konteks negara Malaysia, fatwa merupakan pandangan rasmi negara berkaitan hukum yang berkait dengan agama Islam.

Justeru beliau berkata, pelaksanaan dakwah perlu mematuhi termanya agar perkara tentang Islam yang disampaikan kepada mad’u (orang yang didakwahkan) dapat diterima dengan baik, melalui manhaj yang betul dan sesuai.

“Kita berdepan satu senario masyarakat Islam yang bersepakat supaya tidak bersepakat. Ertinya kita bersepakat untuk berpecah dan tidak sependapat.

“Saya minta pada anak muda, jadi manusia yang ada daya kompetensi yang boleh masuk ke dalam masyarakat dan memahami realiti kehidupan tanpa menghilangkan keperibadian diri.

“Masyarakat bukan tak tahu hukum hakam, masyarakat tahu tapi kemungkinan cara kita menyampaikan hukum hakam tadi. Pendekatan kita, metodologi yang digunakan mungkin tak dapat diterima oleh masyarakat.

“Perlu tahu, keperluan hukum dari sudut fatwa kepada masyarakat tidak akan terhenti selama mana kita pegang pada prinsip kita hidup bersyariat yang ada hukum hakamnya kerana Islam bersifat universal,” jelasnya.