Institusi kewangan Islam mesti terbuka untuk fikirkan pendekatan perniagaan, kata Amiruddin

Institusi kewangan Islam mesti terbuka untuk fikirkan pendekatan perniagaan, kata Amiruddin

Institusi kewangan Islam mesti terbuka untuk memikirkan semula model perniagaan tradisional mereka serta pendekatan untuk menjalankan perniagaan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata ini akan membuktikan kesediaan mereka untuk menjalin perkongsian digital dan pakatan strategik yang berpotensi untuk mewujudkan penyelesaian inovatif.

“Di peringkat global, 82 peratus penyandang dijangka meningkatkan perkongsian teknologi kewangan (fintech) dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Kerjasama dengan masyarakat fintech seharusnya menjadi norma.

“Sebagai contoh, kerjasama dengan pendanaan awal dan syarikat pemula niaga pembiayaan setara boleh menjadi peluang pertumbuhan sama-sama menang,” katanya dalam ucaptama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-15 di sini hari ini.

Amiruddin berkata melalui perkongsian seperti ini, bank boleh merujuk peminjam berpotensi yang tidak memenuhi profil kredit sasaran mereka, kepada platform pemberi pinjaman ini, yang kemudiannya boleh merujuk perniagaan yang berjaya mengembangkan operasi kepada bank untuk memperoleh pembiayaan yang lebih tinggi.

“Di peringkat global, syarikat pemula niaga fintech sangat berjaya dan secara terbuka mencabar pengiat kewangan tradisional dalam ruang sendiri, sekali gus mencorakkan semula jangkaan pengguna ke atas perkhidmatan kewangan.

“Fintech menawarkan peluang yang luar biasa kepada institusi kewangan. Saya tidak ragu-ragu bahawa institusi kewangan yang memanfaatkan teknologi canggih ini akan melakar kejayaan pada masa depan,” katanya.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 670 juta pengguna perbankan digital di Asia sahaja, dan jumlah itu dijangka mencapai 1.7 bilion menjelang 2020.

Amiruddin berkata dengan populasi 32 juta, Malaysia mempunyai kadar penembusan mudah alih dan Internet yang tinggi, masing-masing sekitar 141 peratus dan 85.7 peratus.

“Dengan populasi yang pelbagai dan kelas pertengahan yang semakin meningkat, Malaysia merupakan tempat ujian yang ideal untuk membangunkan dan mengkomersialkan penyelesaian fintech,” katanya, sambil menambah usahawan berpeluang meraih keuntungan daripada fintech yang menyediakan sokongan teknologi untuk merealisasikan matlamat kewangan Islam dalam mewujudkan risiko perkongsian ekonomi.

“Ini seterusnya akan memberi manfaat kepada usahawan yang akan mendapat akses yang lebih luas kepada kredit perantara bank,” katanya.

Amiruddin berkata institusi kewangan Islam Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada pengganda pertumbuhan yang ditawarkan oleh fintech, yang memerlukan industri untuk melabur dalam teknologi dan mempunyai bakat yang tepat untuk mempercepat penggunaan teknologi.

Forum dua hari yang bermula hari ini dianjurkan oleh Pusat bagi Penyelidikan dan Latihan, dengan kerjasama Amanie Group, Messrs Hisham Sobri & Kadir, Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia.- BERNAMA