Institusi pondok berpotensi dinaiktaraf wakaf universiti, kata Lepai

Institusi pondok  berpotensi dinaiktaraf  wakaf universiti, kata Lepai

Institusi pondok di negara ini jika diperkasakan secara bersepadu boleh dinaik taraf menjadi sebuah pusat pendidikan bertaraf universiti.

Demikian pandangan dilontarkan Pengerusi Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) Tan Sri Dr Yusof Noor.

Beliau berkata, tidak mustahil institusi pondok akan menjadi universiti wakaf pertama di Malaysia.

“Institusi pondok mempunyai potensi untuk dipertingkatkan. Jika negara lain kita bercakap mengenai universiri seperti Harvard dan Oxxford ia sebenarnya bercirikan wakaf.

“Jika Universiti Al-Azhar adalah wakaf, saya yakin institusi pondok akan menjadi universiti wakaf pertama di negara ini.

“Saya fikir mungkin kita (institusi pondok dan pentadbir agama) boleh bersama mengurus pondok berusaha memperkasakan bersama dan memberi kefahaman kepada masyarakat Islam dan bukan Islam mereka akanb menghormati institusi pondok ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Pondok Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Intitut Latihan Islam Malaysia (Ilim) Bangi hari ini.

Dr Yusof berkata, kefahaman konsep pondok dikalangan individu dan ahli korporat harus dipertingkatkan agar usaha untuk membangunkan dan memperkasakan pondok dapat digerakkan tanpa bergantung kepada kerajaan.

“Sebuah institusi berteraskan pondok boleh jadi institusi perkasa di Malaysia.

“Institusi pondok adalah sebuah institusi pendidikan islam yang kuat.

“Tetapi pada masa ini orang tidak faham peranannya dalam masyarakat.Konvensyen sebegini adalah salah satu saluran untuk meningkatkan pengetahuan men genai potensi institusi pondok ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline ketika diminta mengulas lanjut ucapannya.

Majlis akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Konvensyen sehari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ini dihadiri 300 guru dan pelajar pondok seluruh negeri ini.

Jakim bertindak sebagai agensi penyelaras dan urusetia kepada  Lepai yang ditubuhkan pada 1983..Fungsi utama Lepai  untuk menyelaras pelajaran dan Pendidikan Agama Islam di Sekolah Agama Islam Negeri dan Sekolah Agama Islam Rakyat di seluruh negeri termsuk Maahad dan Sekolah Tahfiz.