Intan Najuwa risau anak 4 bulan tertekan hadap kesesakan trafik, rela tak pulang beraya

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Intan Najuwa mengambil keputusan untuk tidak pulang beraya di kampung halamannya tahun ini kerana khuatir anaknya yang berusia empat bulan akan tertekan akibat kesesakan lalu lintas dan perjalanan panjang.

Menurut Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, keputusan sedemikian sebenarnya sukar untuk diambil kerana pelakon itu tidak pernah melepaskan peluang beraya bersama keluarga besar di Johor Bahru.

Walau bagaimanapun, keputusan itu tetap diambil demi anaknya iaitu Imane Lunara namun menegaskan bahawa keluarganya di Johor Bahru sentiasa akan berada di dalam ingatannya meskipun harus beraya tanpa mereka.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Intan menerusi satu hantaran yang dimuat naik olehnya di Instagram Story bersama gambar memaparkan Imane Lunara sedang berbaring di atas katil memakai gaun berwarna putih.

“Tahun ini, kami pasukan yang beraya di Kuala Lumpur. Memang terasa agak sukar kerana sebelum ini, kami tidak pernah terlepas menyambut Hari Raya dengan pulang ke Johor Bahru. Tetapi kerana bayi kami, Lunara yang terlalu kecil untuk menghadapi kesesakan lalu lintas.

“Jadi kami tidak mahu meletakkan anak dalam situasi itu sehingga mengalami tekanan akibat perjalanan panjang dalam kesesakan lalu lintas. Walaupun kami tidak dapat berada di rumah nenek untuk kali ini, namun fikiran saya sentiasa bersama keluarga di Johor.

“Kepada ibu bapa, mentua dan adik-beradik. Insya-Allah, saya dan suami boleh melalui situasi ini bersama-sama. Ini adalah Raya pertama kami tanpa keluarga besar dan hal ini sememangnya menyentuh perasaan kami,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam perkongsian seterusnya, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu turut menjawab soalan daripada peminat mengenai alternatif untuk pulang beraya tanpa kesesakan lalu lintas iaitu dengan menaiki kapal terbang.

Intan menjelaskan bahawa buat masa ini, dirinya masih belum bersedia untuk membawa puteri sulungnya itu menaiki kapal terbang ekoran merasa gementar selain khuatir bayinya akan turut merasa tekanannya.

“Buat mereka yang tertanya-tanya mengapa kami tidak menaiki kapal terbang. Hal ini kerana saya belum bersedia untuk membawa Imane Lunara menaiki kapal terbang dengan segala jenis tekanan yang datang bersama pilihan itu.

“Sejujurnya, saya merasa agak gementar untuk terbang. Sebab itu kami tidak ke mana-mana lagi buat masa ini. Tetapi semuanya baik-baik sahaja. Malah keluarga juga merancang untuk melawat kami di Kuala Lumpur pada tahun ini untuk raya kedua. Mudah-mudahan.” Ujarnya.

Baca juga: Wanita pesan tak usah kecam majikan tak macam KA, ‘struggle’ syarikat tak semua sama