Malaysia Dateline

Integriti, kebajikan anggota dan veteran ATM fokus utama Mohamad

Pada 30 Mei 2018, Jemaah Menteri telah bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa khas untuk melakukan siasatan terhadap tadbir urus, perolehan dan kewangan Kerajaan di pelbagai kementerian.

Jawatankuasa ini dinamakan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Mungkin ramai yang telah mengetahui bahawa, selepas JKSTUPKK ini ditubuhkan, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mempelawa jawatankuasa ini untuk memulakan tugas mereka di Kementerian Pertahanan sebagai agensi kerajaan pertama disiasat.

“Ketika tertubuhnya Jawatankuasa itu, YB Menteri sendiri mahu Kementerian Pertahanan menjadi agensi kerajaan pertama disiasat,” ujar Mohd Nasaie Ismail kepada Malaysia Dateline.

Mohd Nasaie Ismail

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan itu, berkata, Mohamad berpendapat jika beliau mahu mengembalikan wibawa Angkatan Tentera Malaysia, segala tuduhan penyelewengan yang dilempar sebelum ini perlu terlebih dahulu dibuktikan dengan fakta.

Siasatan oleh JKSTUPKK memperlihatkan komitmen tinggi Mohamad dalam usaha memastikan tadbir urus, proses prolehan dan kewangan di Kementerian Pertahanan dilakukan dengan betul dan berintegriti. Lebih penting adalah segala teguran dan syor yang dikemukakan oleh JKSTUPKK ini diambil pengajaran agar penyelewengan dan salah guna kuasa tidak berlaku lagi di masa akan datang.

“Land swap ini membuktikan bahawa wujudnya urus tadbir yang dikatakan tidak baik berlaku daripada hasil siasatan JKSTUPKK itu.

“Ini kerana tidak mengikut tatacara kewangan, terdapat campurtangan politik berlebihan bukan atas keperluan ketenteraan,” ujar Nasaie memetik dapatan laporan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa siasatan itu.

Hasil siasatan JKSTUPKK yang diketuai oleh bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang itu mendedahkan kerajaan mengalami kerugian lebih RM500juta bagi urus niaga land swap membabitkan tanah milik kementerian itu di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang berlaku sejak 1997.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan Mohd Nazri Abdullah berkata,sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 5 September 2018 lalu, Mohamad juga menanamkan azam untuk fokus kepada isu kebajikan anggota dan veteran angkatan tentera.

“YB Menteri mahu kementeriannya menjaga isu membabitkan pemberian kemudahan, bantuan dan perumahan kepada ahli anggota tentera serta kesejahteraan veteran ATM.

Mohd Nazri Abdullah

“Beliau berpendapat apabila seorang anggota tentera terlibat dengan operasi, semua bantuan yang diperlukan ahli keluarganya akan dapat dipenuhi sebaik mungkin dan anggota itu tidak perlu risau
sepanjang menjalankan tugas mereka.

“Selain itu, YB Menteri juga berpendapat kebajikan dan kesejahteraan veteran antara isu yang harus diberi perhatian di kementerian ini .

“YB Menteri ambil sikap cuba sedaya upayanya untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan veteran dengan memperkenalkan beberapa inisiatif baru,” ujarnya.

Kata Mohd Nazri lagi, dalam tempoh setahun menjadi Menteri Pertahanan, Mohamad telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi menjaga kebajikan veteran tentera.

Antara yang telah berjaya dilaksanakan ialah mendapatkan tambahan peruntukan hampir RM20 juta,daripada RM78.914 juta kepada RM98 juta disalurkan untuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagiurusan hal ehwal dan kebajikan veteran melalui Bajet 2019.

Selain bantuan khas RM500,000 untuk diagihkan kepada Persatuan Bekas Tentera yang berdaftar dibawah JHEV, Kementerian Pertahanan juga telah memperkenalkan Bantuan Harapan Negara iaitu pemberian RM500 secara one-off kepada 159,368 orang veteran ATM berpencen dan tidak berpencendalam kategori B40, menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya lagi, Mohamad juga telah mengaktifkan kembali Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yangtidak pernah bersidang sejak ditubuhkan pada 2012.

“Dengan pengaktifan semula MVK ini, banyak isu dan inisiatif baru kepada veteran ATM dapat dibincang dan diputuskan termasuk bayaran Bantuan Harapan Negara (BBN) dan cadangan pemberian elaun kepada penerima Pinggat Jasa Malaysia (PJM) yang akan dibawa ke peringkat kabinet.

“Setakat ini MVK telah bersidang dua kali iaitu pada Disember 2018 dan Februari 2019. Persidangan ketiga dijangka penghujung Mei iaitu dalam minggu ini.

Sementara itu, ditanya mengenai perwatakan Mohamad setelah setahun memegang portfolio Menteri Pertahanan, Mohd Nazriberkata: “Dia sudah menteri sekarang. Dia sudah menguasai selok belok urusan dan hal di Kementerian Pertahanan dan ATM.”

Ini merujuk kepada pandangan segelintir masyarakat secara sinis mempersoalkan kewibawaan pelantikan Presiden AMANAH itu sebagai menteri penuh menjaga hal ehwal tentera di KementerianPertahanan.

Mengulas jadual harian pula, Mohd Nazri menjelaskan YB Menteri selalunya memiliki jadual yang sangat padat termasuk mesyuarat-mesyuarat wajib yang perlu beliau hadiri selain pertemuan-pertemuan rasmi serta program-program anjuran kementerian dan kerajaan.

“YB Menteri masuk pejabat biasanya 8.30 pagi tetapi itu bergantung kepada jadualnya. Masanya cukup padat.

“Pernah beliau mengeluh jadualnya terlalu padat dan kemudian kita susun agar beliau selesa dan bolehmemehuhi semua program dan pertemuan.

“Biasanya jika tidak bertemu di pejabat mungkin beliau akan bertemu di lokasi luar. Beliau juga kerap turun padang jika mendapat tahu ada masalah yang timbul.

“Ini kerana ada perkara boleh diselesaikan di pejabat ada perkara kena selesaikan di luar pejabat,” ujar Mohd Nazri lagi.

Mohamad Sabu ketika disambut anggota ATM yang bertugas menjaga sempadan negara dalam lawatannya di Pulau Jambongan, Sabah.