Malaysia Dateline

Integriti kerajaan penting dalam siasatan kes video seks mirip Azmin, kata Muhyiddin

 

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi jaminan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan dipengaruhi dalam siasatan klip video seks yang mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, integriti kerajaan juga dilihat penting dan sehubungan itu, pihaknya memberi jaminan pihak polis akan bebas dalam siasatan klip video  tersebut.

“Saya memberi jaminan polis akan bebas dalam siasatan ini kerana integriti kerajaan juga penting.

“Itu hanya pandangan beliau (Tun Dr Mahathir Mohamad) terhadap video tersebut.

“Saya juga berharap, hasil siasatan video berkenaan dapat dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media sama ada siasatan pihak PDRM akan dijalankan dengan adil selepas Perdana Menteri, menyifatkan klip video intim itu sebagai palsu.

12 Jun lalu, Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar pada 11 Jun, dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu komplot jahat untuk menjatuhkannya.