Integriti perbendaharaan negara tahap tinggi di era dua menteri

Integriti perbendaharaan negara tahap tinggi di era dua menteri


Tun HS Lee dan Tun Tan Siew Sin dilihat antara bekas menteri kewangan yang terbukti dapat mengekalkan integriti perbendaharaan negara di tahap tinggi di zaman mereka.

Salahuddin Ayub Tun HS Lee dan Tun Tan Siew Sin dilihat antara bekas menteri kewangan yang terbukti dapat mengekalkan integriti perbendaharaan negara di tahap tinggi di zaman mereka.

Tun HS Lee adalah Menteri Kewangan pertama (1957-1959) sebaik saja negara menerima kemerdekaan dan Tun Tan Siew Sin adalah Menteri Kewangan kedua yang memiliki rekod perkhidmatan yang terpanjang (1959-1969) (1971- 1974), di bawah dua orang bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata sewajarnya,rakyat boleh membahaskan isu-isu integriti dan urus tadbir kerajaan dengan baik dan telus melepasi isu perkauman yang sempit.

“Pemikiran rakyat sangat mudah dipesongkan dengan nyalaan api sentimen perkauman. Bangsa Cina adalah seumpama umpan kambing hitam yang paling menyelerakan untuk diratah bagi tujuan mencapai maksud menyemai perasaan takut khususnya di kalangan orang-orang Melayu di negara kita.

“Tun HS Lee telah dierikan kepercayaan oleh Perdana Menteri Tunku Abd Rahman dan terbukti perbendaharaan negara dijaga dengan penuh keamanahan.

“Begitu juga ketika Tun Tan Siew Sin terkenal kerana memiliki sikap yang tegas dan amanah dalam mengurus tadbir kewangan sehinggakan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak sendiri sebagai Perdana Menteri sangat segan dan hormat kepada keperibadian beliau.

“Di bawah kedua-dua Menteri Kewangan yang berbangsa Cina ini tidak pula kedengaran isu besar atau skandal kewangan yang menjejaskan nama baik negara pada ketika itu.

“Perbendaharaan negara dijaga dengan baik dan integriti urustadbir negara berada pada paras yang tinggi dan cemerlang.
“Mereka adalah rakyat Malaysia yang berbangsa Cina yang telah membuktikan bahawa orang Cina yang baik dan beritegriti juga boleh bersama membina negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata, Malaysia pernah mencapai titik puncak kecemerlangannya dengan membariskan pimpinan pelbagai kaum yang beritegriti seperti Tun Sambanthan, Tan Sri Ghazali Shafie, Tengku Ghazaleigh Hamzah dan lain-lain lagi.

Negara juga berbangga memiliki tokoh-tokoh yang menjadi Ketua Pembangkang yang dihormati seperti Dr Tan Chee Koon. Sehingga hari ini, Lim Kit Siang masih berperanan besar memberikan komitmennya menyemak imbang pentadbiran negara.

“Secara moralnya, rakyat Malaysia seharusnya mengambil pengajaran daripada sejarah Malaysia.

“Isu atau sentimen perkauman adalah candu yang menjadikan kita khususnya orang melayu ini menjadi penagih tegar kepada isu perkauman melayu,” terangnya.

Bagaimanapun katanya, integriti perbendaharaan negara kini agak mengecewakan apabila Malaysia dikaitkan sebagai kerajaan kleptokrasi di bawah pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Kerajaan Kleptokrasi yang terpalit dengan pelbagai skandal seperti 1MDB, MO1 dan penyelewangan dana-dana awam seperti Felda, KWSP, Tabung Haji, dan Mara seolah-olah diampunkan serta disucikan kesalahan mereka atas alasan walaubagaimana pun korupnya mereka, mereka adalah orang Melayu dan Islam?

“Negara memerlukan pasukan gabungan pemimpin yang baik dan beritegriti daripada semua kaum untuk Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan.

“Masih ramai lagi pemimpin di luar sana yang masih bersih, berkelayakan dan berwibawa jika dibandingkan dengan anggota kabinet Umno BN hari ini.

“Mereka itu mampu membawa negara ke era yang lebih baik sekiranya rakyat memberikan mandat baharu dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Perkauman bukan lagi isu yang perlu menghantui orang-orang Melayu dan Bumiputera di negara ini kerana ianya jelas adalah hanya merupakan talian hayat terakhir bagi Umno BN,” ujarnya.

TAGS