Malaysia Dateline

Dap mahu jaminan komitmen yang sebenar Abdul Hadi (kanan) terhadapan saranan Tuan Ibahim (kiri) untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Internet: Terowong masa ahli politik flip-flop

Mujurlah kita kini hidup pada zaman kepesatan teknologi maklumat (IT). Apa sahaja maklumat yang ingin kita ketahui, sangat besar kemungkinannya berlegar di dalam talian. Rekod maklumat terkini dan sejarah masa dahulu, tersimpan rapi dalam pangkalan data Internet. Google sahaja, boleh kita baca.

Apa sahaja persoalan yang terlintas di minda, boleh kita mengetahui jawapannya sepantas kilat di komputer-komputer riba dan telefon pintar kita. Semua di hujung jari kita. Pokoknya, ia mempermudahkan hidup kita.

Namun begitu, bagi segelintir pihak, kepantasan itu tidak memberi mereka kelebihan malah membawa mereka masalah. Ini kerana kenyataan-kenyataan yang pernah ditulis mereka di media sosial boleh dijadikan ‘peluru’ untuk menyerang mereka semula. Ini banyak terjadi kepada ahli-ahli politik.

Dengan kata lain, media sosial kini umpama terowong silam yang menghantui mereka yang tidak tetap pendiriannya.

Keteguhan pegangan mereka hari ini akan diduga dengan kenyataan mereka sendiri beberapa tahun sudah. Seperti luka lama yang berdarah kembali. Contoh kita lihat hari ini adalah kenyataan dari Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung pelantikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri.

Tuan Ibrahim (kini seorang menteri kerajaan PN) seperti dilaporkan Astro Awani, telah menyokong pelantikan bosnya itu dan melihat ia mampu membuka peluang untuk memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara di rantau berkenaan. Pelantikan itu katanya, adalah berdasarkan latar belakang Abdul Hadi khususnya dalam bidang syariah dan sains politik.

Namun begitu, warga maya tidak lupa dengan kenyataannya di media sosial pada 14 Ogos 2018. Beliau telah mengkritik Kerajaan Pakatan Harapan kerana ‘mengikut kerajaan BN’ ekoran pelantikan Tan Kok Wai sebagai Duta Khas ke China.

Kata Tuan Ibrahim, rakyat ketika itu dimaklumkan kerajaan tiada duit, tetapi beberapa tindakan seperti pelantikan duta khas itu seolah-olah mempermainkan rakyat.

Kenyataan itu dikongsi kembali warga maya dengan pelbagai sindiran lucu.

“Salam. Saya dari masa depan.”
“Harap terus kekal dengan prinsip”
“Bau-bau Samy Vellu di hujung karier”

Walaupun lucu, komen-komen ini menunjukkan warga maya sedar dan peka betapa flip-flop pendirian ahli politik mereka. Secara jelas mereka boleh membandingkan kenyataan dahulu vs kenyataan hari ini. Kalau pada zaman tiada Internet mungkin sukar untuk mencari kembali kenyataan-kenyataan lepas, tapi kini segala-galanya boleh ‘digali’ dengan sekelip mata.

Di sebalik kritikan Tuan Ibrahim terhadap pelantikan Kok Wai pada 2018, rupa-rupanya perkara sama turut dilakukan oleh kerajaannya dan yang paling menarik, ia melibatkan Presiden partinya sendiri.

Itu mesej yang diterima oleh rakyat. Perlu diingatkan juga bahawa pelantikan Kok Wai hakikatnya bukan seperti Abdul Hadi. Presiden Pas itu dilantik sebagai duta khas bertaraf menteri. Sebaliknya, Kok Wai tidak. Jadi, pelantikan Abdul Hadi lagi hebat sebenarnya. ‘Bukan biashe-biashe’.

Apa-apa pun, terowong masa depan ini juga menuntut ahli-ahli politik untuk lebih berjaga-jaga. Ini kerana apa yang ditulisnya di media sosial mungkin kelak akan menjadi ‘senjata yang makan tuan’. Nasihat saya kepada ahli-ahli politik: ‘Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’. Jangan nanti kelak menyesal dengan kenyataan sendiri.