Inti ayam tak seberapa, wanita kecewa kedai jual ‘chicken wrap’ dah tak jaga kualiti lepas popular

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita meluahkan kekecewaan apabila sebuah kedai yang menjual ‘chicken wrap’ didakwa tidak lagi menjaga kualiti makanan selepas popular.

Menurut individu bernama Ramlah, dia memesan sebekas ‘chicken wrap’ dari sebuah gerai yang sudah biasa dia kunjungi.

Sebelum ini kualiti makanan di gerai itu memuaskan dengan isi ayam yang padat dan sayur-sayuran dipotong elok.

Namun katanya selepas kedai itu popular, makanan yang dijual kepada pelanggan sudah tidak seperti dahulu.

“Hari tu masa viral elok je. Isi ayam, potong sayur pun cantik. Ini bila dah ramai orang, potong sayur besar-besar gajah, sos penuh, ayamnya dah tak jadi dah. Jadi, sosej ayam ke tak tahu lah,” luahnya.

Dari video dikongsi, jelas roti inti ayam itu hanya dipenuhi sayur kubis dan bawang, dengan isi ayam dipotong kecil-kecil seperti hotdog cincang.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang tidak berpuas hati dengan sikap segelintir peniaga yang tidak pandai menjaga periuk nasi sendiri selepas terkenal.

Mereka berpendapat seharusnya kedai mengekalkan kualiti dan kuantiti isi makanan supaya tidak mencipta persepsi “indah khabar dari rupa”.

Mereka juga mendakwa kebanyakan kedai yang tular dan terkenal dalam sekelip mata tidak akan sesedap seperti sebelum ini.

Baca juga: Rupanya ada cara nak bagi beras murah bau wangi, rasa macam makan beras mahal!