Malaysia Dateline

Inti pati laporan audit 1MDB Najib minggu ini

“Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta saya agar tidak memasukkan dua versi kenyataan kewangan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam Laporan Akhir Pengauditan,” kata bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Ini antara inti pati perbicaraan bekas Perdana Menteri yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi minggu ini.

Ambrin, 70, yang juga satu-satunya saksi pendakwaan yang disoal minggu ini memberitahu mahkamah bahawa Najib membuat permintaan itu selepas dia (Ambrin) membangkitkan isu dua versi berbeza dokumen bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2014 pada satu mesyuarat di pejabat Najib pada Februari 2016.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata, beliau melihat permintaan Najib sebagai Perdana Menteri itu sesuatu yang hendaklah dilaksanakan tanpa sebarang prajudis.

Ambrin selanjutnya berkata, meskipun implikasi daripada menggugurkan fakta daripada laporan pengauditan 1MDB itu amat serius tetapi beliau bersetuju untuk melakukan pindaan itu selepas ahli Parlimen Pekan itu berjanji beliau akan menyiasat ‘hingga ke akar umbi’ perkara ini dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, saksi berkenaan berkata beliau rasa tertipu apabila mengetahui bahawa tidak ada satu pun laporan polis dibuat meskipun diberi jaminan oleh Najib berhubung dua laporan kewangan yang berbeza itu.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Audit 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam melakukan kesalahan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb, 2016 dan 26 Feb, 2016.

Kedua-duanya didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah gratifikasi atau denda RM10,000, yang mana satu lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Berikut ialah ringkasan keterangan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

HARI 5 (27 Nov)

Ambrin memberitahu mahkamah bahawa semasa mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB di pejabat bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 24 Feb, 2016, Arul Kanda juga telah menggesa agar digugurkan dua versi kenyataan kewangan 1MDB itu selepas bersetuju bahawa isu itu akan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Menurut saksi berkenaan, Jabatan Audit Negara (JAN) berpandangan bahawa isu itu perlu dimasukkan dalam laporan audit syarikat berkenaan agar ia membolehkan perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengendalikan siasatan lanjut.

Ambrin berkata, beliau mengarahkan semua laporan asal audit 1MDB itu dimusnahkan melainkan satu disimpan oleh Pengarah Audit LAN (Sektor Kerajaan) Nor Salwani Muhammad (saksi kelima pendakwaan).

Katanya, laporan asal itu yang dicetak dalam 60 salinan tidak digunakan kerana Arul Kanda mahu perubahan dibuat.
Ambrin memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau kecewa kerana terpaksa melayani cadangan pindaan itu pada saat-saat akhir sedangkan Laporan Audit 1MDB telah siap untuk dibentangkan kepada PAC pada 24 Feb, 2016 dan laporan itu hanya dapat dibentangkan pada Mac 2016.

Saksi berkenaan menjelaskan bahawa selain dua versi kenyataan kewangan yang berbeza itu, pindaan yang dibuat bagi laporan pengauditan 1MDB itu ialah isu penangguhan penerbitan Islamic Medium Term Notes (1MTN), ACME, dan isu keberadaan Low Taek Jhow atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

— BERNAMA