Malaysia Dateline

Intip, dedah rahsia orang amalan jahat berdosa besar kata Nik Abduh

Nik Abduh Nik Aziz menyifatkan perbuatan mengintip kemudian mendedahkan rahsia hak setiap orang adalah amalan jahat dan dosa besar.

Menurut Ahli Parlimen Bachok itu, perbuatan yang memula dengan usaha mengintip seterunya menyebarkan ada kerja kumpulan iblis dan syaitan di langit.

“Mereka berterbangan di langit dalam usaha mencuri-curi berita-berita berkaitan urusan langit dan bumi yang ditentukan oleh Allah.

“Jika mereka dapat, mereka akan segera menyebarkan maklumat tersebut kepada para wali mereka daripada kalangan manusia iaitu para bomoh, tukang sihir, tukang tilik dan seumpamanya,” katanya.

Nik Abduh berkata demikian merujuk kepada penyebaran audio perbualan mirip Anwar dan Zahid baru-baru ini.

“Bagi mencapai tujuan buruk mereka, mereka akan mencampur adukkan di antara kebenaran dan kepalsuan, seterusnya menyebarkan benih-benih perpecahan dalam kalangan manusia apabila mempercayai khabar-khabar daripada para wali syaitan tersebut,” katanya lagi.

Sebab itulah tegas Nik Abduh agama Islam mengharamkan umatnya pergi dan mempercayai bomoh, tukang tilik, apatah lagi tukang sihir.

“Semua itu langkah-langkah syaitan untuk memecahkan dan menyesatkan anak Adam.

“Kesalahan dan dosa mengintip dan mendedahkan rahsia individu akan ditanggung oleh individu tersebut. Ia bergantung kepada sebesar mana kesan buruk dan kerugian yang ditanggung oleh mangsa tersebut,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya di dalam pemerintahan negara, intipan ke atas rakyat oleh pihak pemerintah menggunakan jentera dan peralatan moden kerajaan adalah dibenarkan selama mana demi menjaga maslahat rakyat keseluruhannya.

“Ia termasuk mengintip pergerakan kartel dadah, kongsi gelap apatah lagi tali barut yang membantu musuh negara dari luar.

“Adapun mengintip menggunakan jentera kerajaan demi kepentingan peribadi atau kepentingan parti masing-masing demi laba persaingan politik, maka ia adalah salah guna kuasa yang terlarang oleh ugama.

“Setiap mukmin terikat dengan syarat dan janji dalam segala urusan muamalahnya sesama mereka. Pemerintahan adalah amanah. Menyalah gunakan jentera kerajaan demi membunuh parti dan saingan politik lain adalah khianat, salah dan dosa.

“Ia juga membantutkan usaha memulihkan demokrasi dan integriti yang sedang dituntut oleh seluruh rakyat.

“Saya tidak tahu, jika benarlah intipan audio perbualan Zahid-Anwar itu, siapakah dalang intipan tersebut. Jika dia individu, dia menanggung dosa.

“Jika ia daripada jentera kerajaan, ia adalah amat salah. Bukan itu tujuan kekuatan intipan negara. Ia tidak bertujuan sewenang-wenangnya demi kepentingan individu dan parti,”katanya.