Malaysia Dateline

Dr Zulqarnain Luqman

Intipati ordinan darurat, apa maknanya

INTIPATI ORDINAN DARURAT (KUASA-KUASA PERLU) 2021

Tarikh warta: 14 Januari 2021

P.U.(A) 12/2021

Fasal 1 – Tarikh kuatkuasa 11 Januari 2021

Fasal 2 – Penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas. JK Khas ini akan menasihati YDPA mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di Malaysia berikutan wabak penyakit berjangkit Covid-19. Perlantikan JK Khas ini akan dilantik oleh YDPA.

Ulasan: Perkara yang penting untuk dilihat di sini adalah perlantikan ahli JK Khas ini tidak dibuat atas nasihat Perdana Menteri. Ini bermakna YDPA secara mutlak akan membuat keputusan siapakah yang akan menganggotainya.

JK Khas ini akan terus menasihati YDPA tanpa perlu melalui kabinet. Ini adalah baik untuk mengurangkan karenah birokrasi. Lazimnya keputusan sesuatu JK ini perlu mendapatkan kelulusan kabinet terlebih dahulu. Ini juga bermakna JK Khas ini boleh bypass segala keputusan kabinet.

Terma JK Khas ini juga adalah sangat luas kerana JK Khas ini akan menasihati YDPA bukan setakat untuk pengurusan Covid-19 sahaja bahkan meliputi aspek keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam.

Fasal 3 – YDPA atau sesiapa yang diberikan kuasa oleh YDPA boleh mengambil alih milikan sementara apa-apa tanah, bangunan atau harta alih. Segala sekatan ke atas hartanah itu boleh diabaikan.

[Ulasan: ini bermakna YDPA boleh ambil alih mana-mana hospital swasta atau apa-apa hartanah atau ambulan swasta secara sementara tanpa perlu melalui proses undang-undang sebagaimana biasa]

Fasal 4 – Kuasa kepada YDPA untuk menggunakan apa-apa sumber manusia, kemudahan, utiliti, aset, pengawal atau pengurus sumber. Sama ada sumber itu akan dibayar atau tidak, YDPA atau orang yang diberikan kuasa itu akan membuat keputusan.

[Ulasan: ini bermakna berapa jumlah bayaran itu bergantung kepada YDPA. Pihak yang diambil sumber itu tiada kuasa untuk membuat negosiasi]

Fasal 5 – Taksiran berapakah jumlah pampasan terhadap orang yang diambil sumber itu akan diputuskan oleh YDPA dan keputusan itu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

[Ulasan: fasal ini bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah satu contoh yang mana sebarang ordinan darurat boleh mengambil kebebasan asasi yang ditetapkan di bawah Perlembagaan kerana Perkara 13 itu menjamin hak harta seseorang yang tidak boleh diambil tanpa menurut undang-undang seperti Akta Pengambilan Tanah dan tanpa pampasan yang mencukupi]

Fasal 6 – YDPA diberikan kuasa untuk melantik sesiapa pun untuk memberikan rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan.

[Ulasan : kuasa ini sebenarnya sudah diberikan kepada Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Ini hanya pengulangan kepada kuasa yang diberikan di bawah akta tersebut. Mungkin fasal ini adalah hanya untuk penegasan kepada kuasa yang sedia ada.

Fasal 7 – Kuasa tambahan kepada angkatan tentera yang mana segala kuasa polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) kini diberikan juga kepada anggota tentera.

[Ulasan: ini bermakna tentera juga ada kuasa untuk menangkap orang awam, membuat siasatan, mengambil kenyataan 112 dan 113 serta menyediakan kertas penyiasatan. Soalnya mampukah tentera membuat kerja siasatan kerana kesilapan dalam membuat kertas siasatan boleh menyebabkan kegagalan suatu pendakwaan di mahkamah].

Fasal 8 – YDPA boleh mengecualikan mana-mana profesional kesihatan daripada beramal di tempat tertentu sepertimana yang diperuntukkan dalam akta masing-masing. Antara mereka yang terlibat adalah doktor perubatan, doktor gigi, ahli farmasi, ahli kesihatan bersekutu, pembantu perubatan, jururawat, bidan, ahli optikal, pembantu hospital estet.

Fasal 9 – Kegagalan mematuhi Fasal 4 dan 5 (berkaitan pemilikan harta) boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Fasal 10 – imuniti terhadap tindakan guaman dan prosiding undang-undang terhadap pegawai yang terlibat di bawah ordinan ini.

Fasal 11 – Kuasa eksekutif dan perundangan

a) Perdana Menteri dan Kabinet akan kekal sebagai kuasa eksekutif. Ini bermakna PM masih berkuasa, bertugas dan menerima gaji seperti biasa.

b) Menteri Besar dan EXCO akan kekal sebagai kuasa eksekutif. Mereka juga akan berkuasa, bertugas dan menerima gaji seperti biasa.

c) Kuasa perundangan subsidiari di peringkat Persekutuan dan Negeri masih kekal.

Fasal 12, 13, 14, 15 – Pilihan Raya.

Tiada kekosongan ahli Dewan Negara (kuota Negeri) perlu diisi dalam tempoh yang ditetapkan dan tiada pilihan raya kecil akan dilakukan jika ada wakil rakyat yang meninggal dunia.
Parlimen dan DUN tidak akan bersidang sepanjang tempoh darurat. Segala peruntukan Perlembagaan mengenai keperluan untuk mengadakan pilihan raya adalah digantung sehingga YDPA membuat keputusan sebaliknya.

Ini bermakna tiada sebarang undi usul tidak percaya boleh dibuat di Parlimen atau DUN. Namun, ini tidak bermakna Perdana Menteri atau Menteri Besar tidak boleh ditukarkan kerana kuasa untuk penentuan sokongan majoriti kini (selepas keputusan kes Dato’ Seri Nizar Jamaluddin) tidak perlu dibuat melalui usul tidak percaya di dalam Dewan. Penentuan sokongan majoriti boleh dibuat oleh YDPA sendiri melalui apa-apa cara yang lain.

Soalnya, perlukah pembangkang turut serta dalam JK Khas ini sebagaimana yang disebut dalam kenyataan media Istana pada 11 Januari 2021.

Semalam dikhabarkan DS Anwar ada mengutus warkah kepada istana untuk menarik balik perintah darurat ini. Agak janggal jika YDPA akan berkenan dengan warkah DS Anwar itu selepas Ordinan ini diwartakan.

Bagi saya adalah lebih baik jika pembangkang juga akan dapat menghantar wakil masing-masing ke dalam JK Khas ini atas sebab kuasa JK Khas ini adalah besar dan boleh memudaratkan orang ramai sekiranya kuasa yang ada disalahgunakan.

Keberadaan wakil pembangkang dalam JK Khas ini sekurang-kurangnya boleh memberikan sistem semak dan imbang dalam proses membuat keputusan. Sekiranya ada perkara yang tidak baik dibuat oleh JK Khas ini maka wakil pembangkang yang berada di dalam JK Khas ini boleh meletakkan jawatan sebagai tanda protes.

Tanpa wakil pembangkang berada dalam JK Khas ini maka mungkin maklumat penting tidak akan diperolehi oleh pembangkang seperti cara vaksinisasi, pemerolehan vaksin dan lain-lain.

Soal keabsahan TSMY sebagai PM yang tidak cukup majoriti itu perlu diuruskan dengan cara lain kerana darurat ini tidak menghalang sebarang pertukaran PM.

Sekian.

Dr Zulqarnain Lukman
15/1/2021

https://peguam.blogspot.com/2021/01/intipati-ordinan-darurat-kuasa-kuasa.html