Intipati perbicaraan 1MDB Najib dari 3-5 Sept

Intipati perbicaraan 1MDB Najib dari 3-5 Sept

Banyak lagi bukti mengejut didedahkan oleh Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berikut ialah intipati testimoni daripada Amhari Efendi, 43, pada perbicaraan itu di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah dari 3-5 Sept.

Najib, 66, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan gratifikasi berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

HARI 3 (3 Sept):-

Amhari Efendi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat khas tidak rasmi kepada bekas Perdana Menteri itu kerana beliau menjalankan pelbagai tugas di belakang tabir termasuk menguruskan 1MDB, program antarabangsa, lawatan kerja, cadangan dan dasar perniagaan, serta kerja kebajikan untuk Najib.

Amhari Efendi,yang ketika itu di Bahagian Ekonomi Pejabat Perdana Menteri berkata, Jho Low juga mengatur urusan pelaburan, rundingan antara kerajaan atau G ke G, politik dan operasi dana untuk bekas Perdana Menteri itu.

“Setiap arahan yang diberikan oleh Jho Low hendaklah dijalankan kerana saya percaya beliau telah mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Najib. Saya tidak pernah mempersoalkan arahan itu tetapi kadangkala bila perlu, Datuk Azlin Alias, yang ketika itu setiausaha sulit peribadi Najib, atau saya sendiri akan merujuk kepada Najib untuk pengesahan.

“Kebanyakan waktunya, saya akan dimaklumkan oleh Najib bahawa arahan itu yang diberikan oleh Jho Low diluluskan oleh beliau dan Datuk Azlin juga memberitahu kepada saya bahawa arahan Jho Low sebaik disahkan oleh Najib hendaklah dibuat susulan,” kata Amhari Efendi yang membaca kenyataan saksi setebal 77 muka surat semasa pemeriksaan ketua oleh Timbalan Pendakwaraya Ahmad Akram Gharib.

Saksi pembelaan kelapan menjelaskan bahawa Jho Low menjadi amat rapat dengan keluarga Najib selepas berkawan dengan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz dan beliau mengetahui mengenainya semasa berurusan dengan Jho Low di mana beliau memberitahunya beberapa kali mengenai bagaimana rapatnya beliau dengan keluarga Najib.

“Dalam pengetahuan saya, Datin Seri Rosmah Mansor juga amat rapat dengan Jho Low apabila saya menyedari bahawa Jho Low kerap menerima panggilan daripada Datin Seri Rosmah, tetapi saya tidak pernah bertanya lebih lanjut perbualan mereka,” katanya dan menambah bahawa Riza Shahriz yang memperkenalkan Jho Low kepada Rosmah.

Amhari Efendi, yang juga seorang daripada saksi penting pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa pendedahan pada 2015 bahawa Riza Aziz membeli harta mewah dan membiayai sebuah filem Hollywood dengan menggunakan dana 1MDB telah amat menjejaskan Najib.

“Sarawak Report pada ketika itu menunjukkan bahawa Riza menerima wang dari 1MDB dan ini menjejaskan Datuk Seri Najib kerana Riza adalah anak tirinya,” katanya.

Mahkamah Tinggi juga diberitahu bahawa projek Terengganu Investment Authority (TIA), adalah idea daripada Jho Low dan ‘tanggungjawab’ Najib.

Amhari Efendi berkata, Jho Low memberitahu beliau bahawa operasi TIA akan berdasarkan konsep Mubadala (Dana Kekayaan Negara), mengikut model pelaburan sebuah syarikat UAE di Abu Dhabi, seperti yang diarahkan oleh Najib yang menganggap projek itu sebagai ‘tanggungjawab’nya.

Amhari Efendi berkata, Jho Low telah menyediakan lima surat ‘kawalan kerosakan’ selepas skandal 1MDB didedahkan bagi menunjukkan bukti bahawa 1MDB dan PetroSaudi tidak bertindak di luar ketetapan dalam usahasama mereka.

HARI 4 (4 Sept):-

Mengenai pembukaan akaun bank luar, Amhari Efendi menyatakan bahawa “Jho Low memberitahu bahawa kami (beliau dan Datuk Azlin) akan dijamin, tidak bimbang dan percayakan beliau, serta memberitahu kami ‘bos akan uruskan’.

“Bos yang dimaksudkan oleh beliau ialah Najib. Datuk Azlin juga melahirkan rasa tidak selesa tetapi Jho Low mengulangi bahawa semua ini akan dilakukan secara terbuka, menerusi dokumen yang teratur dan menggunakan sebuah bank yang terkenal dan ada reputasi. Datuk Azlin hanya berdiam diri. Jho Low berkata, dia akan datang berjumpa lagi kami berhubung isu ini dan meninggalkan mesyuarat.”

Katanya, akaun bank berkenaan diarah dibuka di luar negara adalah kemungkinan untuk tujuan ‘pengubahan wang’ bagi menerima dana politik untuk Najib dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (GE13) dan Jho Low mengarahkan beliau dan Datuk Azlin agar membuka akaun bank luar secara berasingan.

Saksi itu juga berkata, Najib mengetahui mengenainya dan memberi mandat kepada Jho Low bagi merancang dan mengendalikan usaha untuk menyelamatkan hutang terbeban 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd.

Amhari Efendi berkata susulan itu pada 1 Nov dan 2016, Najib melakukan lawatan rasmi ke China dengan tujuan untuk meneruskan projek usahasama Malaysia-China dengan beberapa syarikat.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC) milik China dan Enterprises (SOE) milik China sepatutnya merumuskan perjanjian bagi melangsaikan isu hutang yang dihadapi 1MDB dan anak syarikatnya SRC sebelum akhir Julai atau Ogos 2016.

Beliau berkata perkara itu diputuskan pada satu mesyuarat yang diadakan di China pada 28 Jun, 2016 dengan SASAC.

Bekas pembantu itu berkata, beliau merasa amat tertekan apabila diarahkan oleh Najib untuk pergi ke China bagi mengendalikan tugas rahsia untuk mendapatkan jaminan bagi dana 1MDB pada Jun 2016.

“Datuk Seri Najib sendiri bertanya kepada saya untuk pergi ke rumahnya di Jalan Langgak Duta bagi membincangkan perkara itu, menjelaskan bahawa lawatan itu akan diatur oleh ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

“Saya perlu mematuhinya walaupun pada ketika itu saya dalam keadaan tertekan dan terfikir untuk berhenti kerja kerana arahan ini menyebabkan satu tekanan hebat kepada saya, lebih-lebih lagi apabila Datuk Azlin tidak ada lagi (Datuk Azlin meninggal pada 4 April, 2015). Namun, saya terpaksa patuhi arahan dia (Najib) kerana beliau adalah bos saya, tambahan pula beliau Perdana Menteri Malaysia,” kata Amhari Efendi.

Saksi juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas Perdana Menteri itu juga mengarah beliau untuk bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala, Khaldoon Mubarak di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu pada 2016 bagi membincangkan mengenai penyelesaian masalah bon 1MDB dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) tanpa pergi ke Mahkamah Antarabangsa.

Beliau berkata, Najib juga menjelaskan kepada beliau bahawa jika Malaysia terpaksa pergi ke mahkamah antarabangsa kerana gagal membayar bon yang dijamin oleh IPIC, hubungan duahala antara kedua-dua negara akan terjejas.

Beliau juga berkata Jho Low, menyiapkan soalan ramalan yang dijangka ditanya oleh beberapa pihak termasuk media, beserta jawapan bagi mengawal kerosakan mengenai 1MDB, yang ketika itu dilapor secara meluas oleh media massa.

HARI 5 (5 Sept):-

Amhari Efendi, mengekalkan pendiriannya bahawa Jho Low, begitu rapat dengan bekas Perdana Menteri kerana dia secara peribadi menyaksikan keakraban perhubungan mereka (Jho Low dan Najib) di mana Jho Low pergi ke rumah Najib lebih kerap berbanding sesiapa pun yang lain.

Beliau juga menyifatkan Jho Low sebagai tuan boneka kerana dia boleh memanipulasi sesiapa sahaja tanpa mengira status dan mampu mendapatkan pelbagai orang pada pelbagai tempat bagi memenuhi kehendaknya.

Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan, didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan, di No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011, dan 19 Dis, 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubalan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac, 2013, dan 30 Ogos, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa ini.

— BERNAMA