Malaysia Dateline

IOI Properties catat untung bersih lebih baik pada suku pertama 2019

Keuntungan bersih IOI Properties Group Bhd meningkat kepada RM136.64 juta pada suku pertama berakhir 30 Sept, 2019 daripada RM111.96 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Perolehan, bagaimanapun susut kepada RM540.32 juta berbanding RM552.81 juta sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Isnin, pemaju hartanah itu berkata perolehan bagi segmen pembangunan hartanahnya merosot empat peratus kepada RM398.9 juta pada suku pertama 2019 berikutan jualan yang lebih rendah daripada operasi di Singapura dan Johor susulan baki unit yang masih rendah untuk dijual.

Perolehan pelaburan hartanah meningkat enam peratus kepada RM90.3 juta manakala hospitaliti dan percutian naik dua peratus kepada RM50.1 juta hasil daripada kadar penghunian yang tinggi diraih oleh hotel-hotel di Putrajaya.

Mengenai masa depan, kumpulan itu berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada segmen rumah mampu milik untuk operasi di Malaysia dan kekal optimis terhadap prospek projeknya di China berdasarkan lokasinya yang berdekatan dengan kemudahan dan infrastruktur.

— BERNAMA