Malaysia Dateline

IPC: Keputusan prerogatif melanggari badan kawalselia sukan dunia, kata Pemuda Umno

Pergerakan Pemuda Umno Malaysia berpendapat pelucutan hak Malaysia untuk menganjurkan kejohanan renang para dunia 2019 oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) adalah keputusan prerogatif selaku Badan Kawalselia Paralimpik sedunia.

Ketua Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, namun ianya tidak harus berlandaskan pada pandangan politik oleh mana-mana pihak baik dalam dan luar negeri.

“IPC seharusnya menghormati dasar luar negara anggotanya dan didalam kes ini dimana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.

“Pemuda Umno Malaysia berpendapat IPC telah melanggari batas-batas sebuah badan kawalselia sukan dunia dimana mereka seharusnya memfasilitasi penganjuran kejohanan oleh mana-mana negara anggota bukan menjadikan isu Israel, Anti-Semitik dan Israel sebagai modal untuk berpolitik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru katanya Pemuda Umno Malaysia menasihatkan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Paralimpik Malaysia untuk memastikan atlit-atlit para negara masih terus boleh beraksi di kejohanan-kejohanan dunia yang lain.

“Kita mempunyai Ridzuan Puzi, Latif Romli dan Ziyad Zulkifli serta ramai lagi yang Luar Biasa. Insiden ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada atlit-atlit para kita yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk terus menyumbang pingat pada negara.

” Bolehlah YB Syed Saddiq, Menteri Belia dan Sukan serta KBS mengambil peluang ini untuk membuat penjimatan. Almaklumlah, dimomok-momok bahawa negara mahu bankrap dan berhutang sehingga RM1trillion.

“Bolehlah YB Menteri gunakan pembatalan penganjuran ini sebagai penyumbang KPI Menteri nanti atau boleh gunakan peruntukan penganjuran untuk membiayai atlit-atlit kita yang dipotong elaunnya atau diberhentikan program mereka,” ujarnya lagi.

Bagaimanpaun katanya lagi Pemuda Umno Malaysia berpendirian tegas bahawa penubuhan Israel adalah haram dan Malaysia tidak sesekali akan mengiktiraf negara Yahudi itu sebagai negara berdaulat dikalangan anggota masyarakat dunia.

“Malaysia hanya mengiktiraf Palestin sebagai pemilik tanah asal kawasan berkenaan dan itulah juga pendirian Umno sejak penubuhannya,” ujarnya.