Malaysia Dateline

IPC: Ketegasan kerajaan, kejayaan rakyat demi kedamaian dan keadilan Palestin

 

Ketegasan kerajaan Malaysia yang di terajui Pakatan Harapan akan membuka mata masyarakat antarabangsa bahawa kezaliman dan ketidakan adilan hak asasi berkait rapat dalam apa jua situasi, kata Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata tindakan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran ke atas Malaysia merupakan satu kejayaan buat rakyat Palestin apabila hak mereka diangkat oleh sebuah Negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia yang tidak berkompromi dengan kezaliman dan kekejaman serta sifat rasism.

“Saya juga menyeru Negara Negara Islam khasnya serta Negara Negara lain amnya agar bersama dalam menegakkan hak asasi rakyat Palestin dan menolak kezaliman regim Israel ini.

“Disamping itu saya juga ingin mengulangi sokongan kami dari AMANAH akan keputusan dan pendirian tegas YAB Perdana Menteri yang sangat komited dalam isu penindasan terhadap rakyat Palestin dan kezaliman oleh regim zionis Israel tanpa tunduk terhadap tekanan luar.

” Malaysia telah membayar satu harga yang sangat mahal dalam isu ini sehingga dibatalkan hak penganjuran sukan peringkat antarabangsa demi untuk mempertahankan hak dan kedaulatan bumi dan maruah rakyat Palestin,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan balas IPC apabila membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung mulai 29 Julai hingga 4 Ogos ini di Kuching.

Keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat lembaga jawatankuasa itu di London setelah Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberi jaminan yang diperlukan bahawa perenang para Israel boleh mengambil bahagian, bebas daripada diskriminasi dan selamat semasa kejohanan itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia turut mengucapkan syabas kepada keseluruhan anggota kabinet dibawah pentadbiran kerajaan yang berdiri teguh mempertahankan keputusan ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

“Ini membuktikan bahawa kabinet Pakatan Harapan di bawah Malaysia Baru mempunyai satu idealisma kesatuan yang kukuh demi keadilan sejagat.

“Ayuh rakyat Malaysia kita bersama sama dalam menyuarakan sokongan dan bersolidariti terhadap umat Palestin dengan menyokong pendirian jitu Kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Kira-kira 600 perenang dari 60 negara dijangka mengambil bahagian dalam acara itu yang menawarkan lebih 160 pingat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan mengambil pendirian yang tegas untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada kejohanan itu, bagaimanapun Jawatankuasa Olimpik Israel membantah terhadap keputusan itu dan terus memberi tekanan kepada pihak penganjur untuk mengeluarkan visa kepada atlet mereka.

Dr Mahathir juga diasak ketika siri syarahan Oxford Union di United Kingdom dan komen dari kepimpinan utama Austria ketika lawatan kerjanya baru-baru ini, tuntas tidak mengubah pendiriannya dalam isu ini.

“Rakyat Malaysia tetap bersama YAB Perdana Menteri dalam keputusan kabinet untuk tidak mengizinkan atlet dari Negara haram Israel untuk bersama menyertai dalam acara sukan renang paralimpik yang dijadualkan pada Julai ini.

“Sekali gus mengambarkan solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin.

“Mungkin IPC tidak menyangka Kerajaan Pakatan Harapan dibawah kepimpinan YAB Tun Mahathir akan mengambil pendirian sedemikan berbanding kerajaan BN sebelum ini yang tidak berkata apa-apa sejak kontrak penganjuran ditandatangi 2017 lalu.

“Keputusan IPC mengambarkan yang pertubuhan itu pro Israel dan lebih mengutamakan Israel dari hak negara tuan rumah menyatakan pendirian,” ujar Mahfuz yang juga¬† Ahli Parlimen Pokok Sena.,