Malaysia Dateline

IPD tidak jelas sebab pemandu teksi disiasat di bawah SOSMA

Kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 26 Mac sama sekali tidak menjelaskan mengapa seorang pemandu teksi yang ditahan pada hujung Mac lalu disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Dilaporkan, pemandu berkenaan, Mohd Saiful Mohd Zain, 38 telah ditahan di bawah Akta Anti pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Namun Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, penahanan tersebut tidak semestinya boleh dilakukan di bawah Akta SOSMA yang digunapakai untuk kes jenayah besar.

“Seperti mana diketahui ramai, SOSMA adalah khusus untuk kes jenayah terancang (organized crime) dan terrorisme dan oleh itu mempunyai kuasa-kuasa yang agak ekstrim.

“Saya harap pihak Polis akan membenarkan peguam saya bertemu dengan OKT, untuk memberikan pembelaan terhadapnya dan mendapat penjelasan seterusnya darinya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Khalid berkata, sejak Mohd Saiful ditahan, polis telah melarang ahli keluarga untuk berjumpa mahupun menyediakan khidmat peguam untuknya.

Sementara itu, Khalid turut memohon maaf atas kesilapan maklumat di mana beliau menyebut bahawa pihak keluarga orang kena tahan (OKT) hanya mengetahui ahli keluarga mereka ditahan selepas empat hari.

Jelasnya, waris Mohd Saiful telah mengesahkan bahawa maklumat diperolehi selepas dua hari, iaitu pada 28 Mac seperti mana yang tertera dalam kenyataan IPD Kuala Selangor.

Itupun katanya, maklumat yang diperoleh selepas pihak waris mencari dan bertanya berita mengenai OKT yang telah ‘hilang tanpa berita’ selama dua hari dan bukan atas usaha polis menyampaikan maklumat tersebut kepada mereka.

“Pihak waris turut menafikan mereka dibenarkan bertemu OKT sepertimana didakwa pihak polis melalui kenyataan mereka.

“Hakikatnya waris hanya dibenarkan mengambil dokumen peribadi dan kad ATM milik OKT untuk menguruskan perbelanjaan persekolahan anak OKT dan bayaran sewa rumah,” katanya lagi selain memaklumkan Mohd Saiful dilaporkan akan ditahan selama 28 hari.