Malaysia Dateline

IPFN sahkan virus COVID-19 dikesan pada badan mayat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan, Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) telah menjalankan bedah siasat terhadap satu mayat berkaitan kes Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, hasil daripada bedah siasat yang dijalankan, virus berkenaan dikesan pada permukaan badan mayat tersebut.

Beliau berkata, penemuan bedah siasat mendapati, virus Covid-19 dikesan pada permukaan badan mayat melalui analisa Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Penemuan baharu ini adalah selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh KKM sebelum ini.

“Ianya juga dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 15 Mac 2020 manakala Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada 16 Mac 2020.

“Tatacara tersebut merangkumi pengurusan jenazah Islam di mana hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah, manakala bagi mayat bukan Islam sebarang upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, bedah siasat tersebut dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342.