Dengar sahaja iPhone atau Apple, yang bermain di minda adalah harganya yang mahal namun ‘mampu’ dimiliki kebanyakan orang.
Pada 2007, Steve Jobs mengeluarkan iPhone generasi pertama, tahukah anda nilai telefon tersebut sekarang?
iPhone generasi pertama yang kotaknya masih belum dibuka akan dijual pada acara lelongan Amerika Syarikat dengan nilai lebih AS$50,000 (RM212,900).
Telefon dengan kamera 2 megapiksel dan storan 8GB itu diberikan kepada Karen Green sebagai hadiah apabila dia mendapat pekerjaan baharu, lapor Business Insider.
Namun dia memilih untuk tidak membuka mahupun menggunakan telefon terbabit kerana sudah ada telefon sedia ada.
Green juga terkejut bila mengetahui iPhone generasi pertama dari 2007 berjaya dijual pada harga AS$39,339.60 (RM167,508.02), Oktober lalu.
Dia memutuskan untuk menjual iPhone sekarang untuk membiayai studio tatu kosmetik miliknya yang masih baharu di New Jersey.
Lelongan LCG Auctions meletakkan anggaran harga AS$50,000 dan ke atas pada telefon itu dan lelongan dibuka mulai Khamis dan berakhir pada 19 Februari ini.
Baca juga: Dengar je dapat wang RM250,000, terus diserbu saudara mara nak pinjam duit