Ipoh bakal jadi bandaraya pembuatan kasut terulung negara

Ipoh bakal jadi bandaraya pembuatan kasut terulung negara

Bandaraya Ipoh bakal menjadi bandaraya pembuatan kasut yang terulung dalam negara dengan wujudnya sebuah akademi pembuatan kasut di sini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) akan menyediakan kawasan seluas 80.9 hektar di sini untuk akademi tersebut yang akan mempunyai kilang pembuatan.

“Kita akan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut untuk merealisasikannya dengan mengembangkan kilang pembuatan kasut sedia ada yang terletak di Pengkalan. Kita bercadang untuk membesarkan kilang tersebut sama ada di Bemban atau Chemor.

“Ini amat kita alu-alukan sekali gus memberi peluang kepada anak-anak muda dalam bidang pembuatan kasut menyertainya kerana bidang TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) antara fokus utama kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKNP yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Ariff Yeop Ishak dan Jimmy Couture Trend Sdn Bhd yang diwakili pengasasnya, Jimmy Chia Eng Huat di sini.

Mohd Ariff dalam ucapan berkata penubuhan akademi itu akan menyediakan kelengkapan pembelajaran dan latihan untuk meningkatkan modal insan khususnya usahawan belia dalam bidang fesyen.

Katanya projek Bandar Kasut Ipoh bernilai RM100 juta yang melibatkan pembinaan sebanyak 128 buah kilang di kawasan perindustrian ringan di Pengkalan seluas 10.5 hektar kini dalam pembinaan dan dijangka siap selewat-lewatnya pada 2026.

Beliau berkata pada masa ini, industri pembuatan kasut di Perak mencatatkan perolehan sebanyak RM60 juta setahun.

Loading...

— BERNAMA