Malaysia Dateline

IPT perlu kurangkan yuran pengajian penggal ini

Pemuda AMANAH Gombak mencadangkan agar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengurangkan kadar yuran pengajian kepada penuntut IPT berikutan proses pembelajaran penggal kali ini dilaksanakan secara atas talian.

Biro Komunikasinya berkata, kos menjalankan proses pembelajaran secara atas talian juga tidak setinggi kos pembelajaran secara bersemuka di bilik kuliah.

Malah katanya, penuntut yang berada di kampung halaman memerlukan modal yang banyak untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar bagi memastikan mereka dapat menjalani proses pembelajaran atas talian.

“Oleh itu, Pemuda AMANAH Gombak mencadangkan perlu kiranya IPT mengurangkan kadar yuran IPT kepada penuntut-penuntut IPT.

“Dengan cara ini, ia mampu mengurangkan beban penuntut untuk menanggung kos kedua-duanya iaitu bayaran yuran IPT dan kos penyediaan kelengkapan pembelajaran atas talian.

“Walaupun sebahagian IPT telah mengurangkan yuran melibatkan kos penginapan mahasiswa, tetapi sebahagian kos pembelajaran harus dikurangkan memandangkan proses pembelajaran tidak sama seperti sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Pemuda AMANAH Gombak menyeru agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memainkan peranan lebih tersusun bagi mengelakkan KPT mengumumkan keputusan yang boleh mengganggu fokus penuntut IPT belajar.

Untuk rekod, KPT telah mengumumkan penangguhan pendaftaran pelajar ke kampus bagi sesi Oktober 2020 selepas penularan wabak Covid-19 dalam negara semakin meningkat.