IPU Johan Setia sangat tidak sihat

IPU Johan Setia sangat tidak sihat

Kawasan Johan Setia terus mencatatkan bacaan udara sangat tidak sihat iaitu pada Indeks Pencemaran Udara (IPU) 222 setakat jam 2 petang tadi.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims) sehingga jam 2 petang tadi, sebanyak 27 kawasan di Semenanjung turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Antara kawasan yang dikenal pasti berada pada IPU tidak sihat adalah di Rompin, Pahang iaitu 176, Batu Muda, Kuala Lumpur (162), Wilayah Persekutuan Putrajaya (151), Petaling Jaya (149), Shah Alam (142) dan Seri Manjung, Perak (133).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Jabatan Alam Sekitar menyediakan laman sesawang untuk semakan bacaan IPU dan orang ramai boleh melayarinya di http://apims.doe.gov.my.