Ahli perniagaan sensasi, Iqbal Zulkefli kembali mencipta kontroversi baharu selepas membuat pendedahan mengejutkan di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Instastory, Iqbal mendedahkan bahawa dirinya berhasrat untuk menurunkan berat badan dengan kadar yang segera melalui rawatan klinikal.
Rawatan yang dimaksudkan bekas kekasih usahawan iaitu Datuk Seri Vida itu adalah pembedahan bariatrik bagi mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Iqbal mengakui, tujuan utamanya melakukan pembedahan kosmetik tersebut adalah untuk menjaga kesihatan diri dan mahu tampil lebih kurus demi ‘wanita di luar sana’.
Pemuda berusia 29 tahun turut memaklumkan, dirinya sudah bersedia membelanjakan berapa sahaja wang yang diperlukan bagi menanggung kos pembedahan tersebut.
“Saya (sedang) mencari orang yang boleh memotong perut saya dengan segera. Saya mahu kurus (dengan) segera dan tujuannya demi kesihatan lebih baik.
“Saya terbaca komen, wanita di luar sana lebih suka lelaki kurus. Saya usahakannya. Seberapa banyak kos pun saya sanggup (tanggung),” tulis pemuda berkenaan.
Tidak berniat untuk bergurau, pemilik nama sebenar Ahmad Iqbal Zulkefli itu turut memohon agar mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran untuk menghubunginya.
Hal ini kerana, Iqbal mahu merealisasikan impiannya untuk tampil langsing dengan secepat mungkin memandangkan dirinya ada masa terluang pada minggu hadapan.
“Kebetulan saya ada masa terluang minggu hadapan. Secepat mungkin. Ini serius. Siapa boleh potong perut (pembedahan bariatrik) tolong hubungi saya segera.” Katanya.
Untuk makluman, pembedahan bariatrik boleh dilakukan pakar perubatan melalui tiga prosedur iaitu ‘gastric band‘, ‘sleeve gastrectomy‘ dan pintasan usus (gastric bypass).
Gastric band melibatkan pemasangan gelung di sekeliling bahagian atas perut bagi menghasilkan sekatan keupayaan gastrik dan menghadkan jumlah pengambilan kalori.
Manakala pembedahan sleeve gastrectomy pula akan memotong sebahagian perut yang mengeluarkan hormon peransang selera makan iaitu Ghrelin lalu pesakit akan cepat kenyang.
Prosedur terakhir iaitu pembedahan pintasan usus (Roux en Y gastric bypass) pula akan membuat kantung kecil daripada perut dan menghubungkannya terus ke usus kecil.
Baca juga: Kecoh Hafidz Roshdi dan Athira Yuhada bakal nikah 16 Disember, ini respon Shuhada