Bekas isteri kepada Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar mengaku masih mengekalkan hubungan baik dengan pengarah itu meskipun mereka berdua kini sudah tidak lagi bersama.
Menurut Ira, mereka juga tidak menyimpan perasaan dendam antara satu sama lain walaupun rumah tangga yang dibina pada tahun lalu itu tidak dapat bertahan lama.
Bukan sahaja tidak bermusuh, Ira juga masih berhubung dengan Syamsul untuk berkongsi pandangan masing-masing mengenai perkara tertentu, lapor Harian Metro.
“Kami sedar bahawa tidak semua hubungan itu berjalan seperti yang dirancang. Namun, itu tidak bermakna kami harus bermusuh.
“Kami masih berhubung dan berkongsi pandangan mengenai perkara-perkara tertentu. Hubungan kami sekarang lebih kepada rakan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Jelas Ira, keputusan untuk tidak bermusuhan adalah jalan yang terbaik buat mereka berdua agar dapat memastikan kesihatan mental dan juga emosi masing-masing tetap terjaga.
Ira turut memaklumkan bahawa dirinya kini sibuk memberi fokus kepada urusan karier seninya termasuklah pengeluaran single duet bersama Alan D yang berjudul Tak Kisah.
“Kami berdua layak untuk (mendapatkan) kebahagiaan masing-masing. Saya dan Syamsul nak lalui kehidupan dengan tenang. Orang luar tidak akan memahami sepenuhnya apa yang berlaku.
“Jadi lebih baik kita fokus kepada apa yang penting dalam hidup kami. Saya mahu teruskan hidup dan fokus kepada kerjaya. Banyak perkara positif yang saya nantikan.
“Apa yang penting, kita semua belajar daripada pengalaman dan terus bergerak ke depan. Saya doakan yang terbaik untuk Syamsul dan saya pasti dia juga mendoakan yang sama untuk saya.” Ulasnya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 5 September lalu mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh Syamsul terhadap Ira ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu sekali gus jatuh talak satu.
Sekadar info, Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand dengan berwalikan bapanya sendiri iaitu pelakon veteran, Kazar Saisi.
Baca juga: Sebelum jadi pelawak Joey Daud rupa-rupanya seorang penyanyi dan dididik oleh lagenda negara ini