Iran ancam abai komitmen perjanjian nuklear

Iran ancam abai komitmen perjanjian nuklear
Abbas Araqchi

Iran akan terus mengurangkan komitmennya terhadap perjanjian nuklear 2015, andai pihak lain yang masih kekal dengan kesepakatan itu gagal membantu Iran mendapatkan kepentingan ekonominya.

Timbalan Menteri Luar Iran Abbas Araqchi berkata demikian sejurus selepas mesyuarat luar biasa dengan Britain, Perancis, Jerman, China dan Rusia, di Vienna dalam usaha memecah kebuntuan berhubung perjanjian itu, di tengah ketegangan antara Tehran dan Washington.

“Iran akan terus mengurangkan komitmennya di bawah perjanjian nuklear jika Eropah gagal menghormati hak Iran,” kata Araqchi dalam satu kenyataan pada Ahad memetik agensi berita IRNA lapor Xinhua.

Menurut Araqchi, pelbagai isu dan perkembangan yang berlaku baru-baru ini berkaitan pelaksanaan perjanjian nuklear dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Pada pandangan saya, mesyuarat ini sesuatu yang positif. Semua wakil menyatakan komitmen mereka terhadap perjanjian nuklear itu.

Perjanjian nuklear dikenali Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) itu dimeterai Iran bersama Britain, Perancis, Jerman, China, Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Presiden Donald Trump pada Mei 2018 mengumumkan Washington menarik diri daripada perjanjian itu selain mengenakan semula sekatan ke atas Iran.

Sejak beberapa bulan lalu, Tehran bertindak meningkatkan kadar pengayaan uranium melebihi 3.67 peratus yang dibenarkan dalam perjanjiajn nuklear berkenaan.

Pada Januari Kesatuan Eropah mengumumkan pelancaran satu saluran pembayaran khas dengan Iran, yang membolehkan syarikat terus berdagang dengan Iran dan memintas sekatan anti-Iran oleh AS.– BERNAMA