Malaysia Dateline

Iran berhak pertahankan diri dalam isu ketegangan ketenteraan dengan AS, kata Menteri Luar

Iran telah menegaskan bahawa serangannya ke atas sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq adalah satu langkah bagi mempertahankan dirinya sebagai tindakan balas kepada pembunuhan komander tertinggi tentera elitnya, Qassem Soleimani.

“Kami mengambil tindakan itu sebagai langkah mempertahankan diri di bawah Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif di persidangan tahunan Dialog Raisina di New Delhi pada Rabu.

Pembunuhan Soleimani, yang merupakan pemimpin Tentera Quds iaitu pasukan elit Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, oleh AS di Baghdad pada 3 Jan “adalah satu serangan yang tidak diprovok menggunakan wilayah Iraq terhadap seorang tetamu Iraq,” kata Zarif.

Sebagai tindakan balas, Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu pada 8 Jan ke atas dua pangkalan tentera di Iraq termasuk pangkalan Ain Al Asad yang menempatkan pasukan Amerika.

Zarif berkata Iran telah menghantar satu mesej kepada AS menerusi saluran diplomatik Switzerland bahawa langkah itu adalah satu tindakan bagi mempertahankan diri.

Menteri luar Iran itu berkata negaranya masih percayakan diplomasi tetapi tidak berhasrat untuk mengadakan rundingan dengan AS susulan tindakan Presiden Donald Trump pada 2018 yang menarik negara itu keluar daripada perjanjian nuklear Iran, yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

— BERNAMA