
Iran dakwa 80 ‘tentera pengganas AS’ terbunuh dalam serangan di Iraq
Stesen TV Negara Iran berkata, sekurang-kurangnya 80 orang ‘pengganas Amerika’ terbunuh dalam serangan melibatkan 15 roket yang dilancarkan Tehran terhadap sasaran Amerika Syarikat (AS) di Iraq, tanpa sebarang roket dapat dipintas.
Menurut stesen TV itu lagi, berdasarkan maklumat daripada sumber Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Iran juga mempunyai 100 sasaran lain di wilayah berkenaan sekiranya Washington bertindak balas, lapor AlJazeera.
Sumber tersebut juga berkata, helikopter AS serta peralatan ketenteraan AS “musnah teruk”.
Iran melancarkan lebih 12 serangan roket ke atas pengkalan tentera di Iraq yang menempatkan tentera AS dan ia disahkan oleh Pentagon.
Serangan roket berkenaan dihalakan ke pengkalan Ain al-Asad di semenanjung Anbar dan pengkalan di Erbil awal pagi Rabu berikutan meningkatnya ketegangan antara Washington dan Tehran ekoran pembunuhan komander tentera Iran, Qassem Soleimani oleh AS minggu lalu.
Iran berikrar akan bertindak balas atas tindakan AS membunuh Qassem Solaeimani.
Peralatan dan kemudahan pengeluaran minyak Iraq bagaimanapun tidak terjejas hasil serangan tersebut dan pengeluaran minyak negara itu masih berjalan seperti biasa, kata Setiausaha Agung OPEC, Mohammed Barkindo.