Malaysia Dateline

Iran kibar ‘bendera merah’ simbolik tuntut bela pembunuhan Qasem

Iran mulai mengibarkan ‘bendera merah’ sebagai lambang menunjukkan mereka bersedia untuk berperang selepas serangan udara Amerika Syarikat (AS) telah membunuh Komander kanan negara itu, Qasem Soleimani.

Stesen televisyen Iran mula menyiarkan bendera yang dikibarkan di atas kubah Masjid Jamkaran di Qom yang merupakan antara masjid terbesar di dunia.

Lapor media antarabangsa, bendera tersebut simbolik menuntut keadilan untuk membalas dendam atas pembunuhan komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) itu kelmarin.

Soleimani yang terbunuh bersama timbalan ketua pasukan tentera Iraq, Hashed Al Shaabi di Baghdad memaksa Iran menuntut bela selepas serangan roket oleh AS di lapangan terbang antarabangsa di Baghdad menyebabkan kematian kedua-dua pemimpin kanan itu.

Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majid Takht Ravanchi memberitahu CNN, serangan itu merupakan tindakan perang oleh pihak AS.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Iraq, Adel Abdel Mahdi bersama beberapa kenamaan lain menghadiri perarakan pengebumian Soleimani dan al-Muhandis di Baghdad yang disertai ribuan warga Iraq yang melaungkan slogan anti-AS.

Dalam siri serangan balas, dua bom meletup di kawasan berdekatan dengan Kedutaan AS di Baghdad, pada Sabtu.

Pada masa sama, dua roket dilancarkan ke pangkalan udara Al-Balad, yang turut menempatkan tentera AS.

Tentera Iraq mengesahkan serangan di kedua-dua lokasi, tetapi memberitahu ia tidak menyebabkan kematian.

Sementara itu, laporan sebelum ini menyebut kedutaan Amerika Syarikat menggesa semua rakyatnya untuk meninggalkan Iraq serta-merta.

Qasem Soleimani terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat kelmarin.