Ironkids buka tirai Ironman Langkawi 2018

Ironkids buka tirai Ironman Langkawi 2018

Seramai 300 peserta cilik menyertai Ironkids hari ini yang menjadi acara pembuka tirai kepada Kejohanan Ironman Langkawi 2018.

Untuk julung kalinya juga acara yang hanya melibatkan disiplin larian komuniti sahaja sebelum ini kini diperbaharui dengan pengenalan acara aquathlon yang melibatkan disiplin renang dan larian.

Melalui pembaharuan ini, sebanyak empat kategori umur penyertaan terlibat tahun ini iaitu larian komuniti untuk empat hingga 10 tahun, larian komuniti untuk 11 hingga 17 tahun, aquathlon untuk empat hingga 10 tahun dan aquathlon untuk 11 hingga 17 tahun.

Bagi peserta aquathlon empat hingga 10 tahun, disiplin renangan mereka sejauh 110 meter dan larian sejauh 1.5 km, sementara untuk peserta kategori 11 hingga 17 tahun, renangan mereka sejauh 270 meter dan larian 3.5km.

Tinjauan Bernama mendapati, Ironkids mendapat sambutan hangat apabila ibu bapa memberi sokongan padu kepada anak mereka dengan turut sama berlari di samping mereka sambil memberi kata-kata semangat.

Seorang daripada peserta Ironman tahun ini, Mohamed Hafizi Mohamed, 31, dari Kuala Lumpur menyambut baik pembaharuan yang dilakukan penganjur untuk memperkenalkan acara aquathlon dalam Ironkids tahun ini.

“Saya harap mungkin tahun hadapan mereka boleh masukkan disiplin berbasikal pula. Ini akan dapat memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak dalam bidang sukan triathlon ini,” katanya selepas mengiringi anaknya, Muhammad Dzafran,10, yang menyertai Ironkids itu.

Mohamed Hafizi berkata beliau berharap penyertaan dalam Ironkids ini akan dapat memupuk semangat persaingan sihat dan disiplin tinggi dalam diri anaknya.

— BERNAMA